PEKERJA Palestin bekerja di sebuah kawasan binaan projek perumahan baru di Jabal Abu Ghneim, tempat penempatan Yahudi, Har Homa dibina pada lewat 90-an.
AFP

Ramallah : Israel bercadang membina lebih 1,000 rumah baru di kawasan timur pinggir Baitulmaqdis yang dijangka akan mencetuskan “ledakan” keganasan, kata seorang pegawai Palestin semalam.

Kata Jibril Rajoub, kelulusan membina 1,060 rumah baru itu diberi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

“Netanyahu perlu menjangkakan rakyat Palestin tidak akan mengalah.

“Jika dia terus mendesak kami ke dalam lingkaran pertumpahan darah dan pembunuhan, dia mesti bersedia menerima nasib seperti apa yang berlaku di Gaza.

“Apa yang berlaku adalah bukti komitmen kami untuk mendapatkan kemerdekaan,” katanya merujuk kepada perang 50 hari yang menyebabkan hampir 2,200 orang maut di Gaza, baru-baru ini.

Semalam, pejabat Netanyahu mengesahkan Israel bercadang meneruskan pembinaan 1,000 rumah baru di dua penempatan Yahudi di Har Homa dan Ramat Shlomo.

Israel menguasai timur Baitulmaqdis melalui Perang Enam Hari pada 1967 dan meluaskan penjajahan mereka dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf komuniti antarabangsa.

Jibril berkata, keputusan Israel itu akan mencetuskan ketegangan di antara Palestin dan rejim Zionis berkenaan.

“Sangat salah jika Israel menjangkakan penduduk Palestin akan mengabaikan tindakan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:05 AM