RAKAN artis yang meraikan hari jadi Mariani.
MASIH bertenaga ketika berduet bersama anaknya, Rozita.
MARIANI bahagia bersama anak-anaknya.
Oleh Nor Akmar Samudin


Sebak seniwati Mariani Ismail apabila dia terkenang dua rakan seperjuangannya, Datuk Mustapha Maarof dan Datuk Aziz Sattar yang sudah pun kembali ke Rahmatullah.

Aziz meninggal dunia pada penghujung Mei tahun lalu dan Mustapha pula menyahut panggilan Ilahi tujuh bulan kemudian.

Mariani yang mengadakan sambutan hari jadinya ke-82 tahun kelmarin berkata, dia tidak lagi mengimpikan apa-apa kerana selama 64 tahun menjadi anak seni semua perkara sudah dilaluinya dan semua watak pernah dibawanya.

Majlis yang diadakan di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu turut dihadiri rakan artis seperti Sharifah Shahira dan suami, Ijoi, Aspalela Abdullah, Dian P Ramlee, Rashid Sibir serta anggota keluarga Mariani.

Dalam usia begitu, keadaan kesihatan Mariani masih baik malah masih aktif berlakon dan baru saja selesai penggambaran drama terbitan syarikat produksi milik anaknya Melissa Saila, Kus Semangat Aktor seperti drama Kampung Semarah Padi, Hospital Mati Lampu, Kronologi Penjual Pisang.

Mariani juga bakal muncul dalam program di TV3 untuk siaran Ramadan ini memperkatakan budaya berbuka puasa orang dulu-dulu.

Mariani yang juga begitu serasi membawakan watak hantu dan wanita berperwatakan menyeramkan tidak mahu lagi terima tawaran seperti itu kerana penat disolek selama empat jam dan dua jam lagi untuk menanggalkan solekan.

“Cukuplah saya melakonkan watak hantu kerana saya tidak tahan lagi lama-lama menadah muka untuk disolek. Kalau ada pengarah yang mahu saya berlakon dengannya pun, saya hanya boleh berada di lokasi selama dua jam saja.

“Dalam bidang lakonan, tiada apa lagi yang saya cari kerana sudah cukup puas berlakon. Sekarang saya banyak terima undangan menyanyi dan lagu kegemaran saya ialah Si Ayam Jantan.

“Syukur Allah SWT masih memberikan kesihatan yang baik kepada saya dan akan terus menghiburkan peminat. Pada 25 April ini saya akan membuat persembahan di Tanjung Malim, Perak dan keesokan saya akan muncul dalam program bual bicara di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) bercakap mengenai Tan Sri Jins Shamsuddin,” katanya.

Daripada tiga perkahwinan, Mariani dikurniakan 13 anak, 30 cucu dan lapan cicit yang turut hadir meraikan hari jadinya kelmarin.

20 tahun tak dengar lagu Saloma

Terasa tidak lengkap berbicara dengannya mengenai kisah lalu tanpa menyebut adiknya Allahyarham Puan Sri Saloma yang sudah 32 tahun meninggalkan kita.

Mariani dan Saloma adalah adik-beradik yang sangat rapat sehingga Mariani sanggup melupakan cintanya terhadap Allahyarham Tan Sri P Ramlee selepas mengetahui adik kesayangannya itu turut mencintai lelaki yang sama.

“Tujuh tahun saya tidak bercakap dengan P Ramlee dan kami kembali berdamai selepas dia menjadi adik ipar saya,” katanya.

Bagi mengenangkan adik kesayangannya itu, tahun lalu terbitlah drama Saloma arahan anaknya Melissa Saila.

Berikutan terbitan itu, Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail dicemuh konon penceritaannya mengenai riwayat hidup Saloma dari kecil hingga dia berkahwin dengan P Ramlee tidak betul.

“Saloma adik kandung saya dan kami membesar bersama-sama. Amat mustahil saya berbohong. Biarlah orang nak mengutuk saya termasuk mereka yang rapat dengan saya. Sebagai kakak, saya kenal benar dengan Saloma.

“Apa pun saya puas apabila Melissa menerbit dan mengarahkan cerita itu kerana sebelum ini tiada pihak yang menghasilkannya melainkan tumpuan banyak diberikan kepada kisah hidup P Ramlee. Sebagai kakak, biarlah saya mengusahakan sesuatu sebagai mengenangnya,” katanya.

Luah Mariani dengan rasa hampa, ada juga menuduhnya mengaut keuntungan besar daripada penerbitan itu.

“Melissa hanya dapat pulang modal saja kerana dia perlu berbelanja besar untuk sewa lokasi seperti banglo di Pulau Pinang yang perlu dibayar RM10,000 dan juga membeli pakaian setiap pelakon bagi menggambarkan ‘wajah’ sebenar era 1950-an.

“Tiada mengaut keuntungan seperti yang diperkatakan, namun kami sekeluarga puas kerana ada kenangan untuk Saloma,” katanya.

Saloma meninggal dunia pada usia 48 tahun kerana menghidap kanser dan Mariani ketika itu berusia 50 tahun.

Menurutnya, selepas kematian Saloma, selama 20 tahun dia tidak mendengar dan menyanyikan lagu Saloma.

“Saya tidak boleh lupakan Saloma dan kenangan bersamanya terus ‘hidup’ subur bersama-sama saya sehingga kini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:39 AM