TAN (kiri) dan Gan pentingkan burger berkualiti dengan menggunakan bahan segar.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Siapa tidak gemarkan burger? Selain rasanya yang enak dan mengenyangkan, burger sering dianggap sebagai makanan menyenangkan (atau comfort food) kerana ia mudah, pantas serta ringkas untuk dinikmati.

Sejak kebelakangan ini, makin ramai chef dan pengusaha restoran ternama menyenaraikan burger dalam menu mereka.

Misalnya Danny Meyer, pengusaha restoran Shake Shack yang terkenal dengan konsep burger jalanannya.

Itu belum lagi mengambil kira beberapa rangkaian burger yang makin bercambah dan kini negara kita dilanda pula dengan kemeriahan burger bakar.

Konsep burger bukan lagi sekadar satu roti bulat yang diletakkan kepingan daging bersama sos dan sayur di tengahnya, tapi menjurus kepada pengalaman gastronomi unik hingga mencetuskan budaya kultus dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Seiring dengan populariti burger urban hari ini, Big Hug Burger memperkenalkan variasi burger menarik yang menggabungkan dua elemen berbeza - timur dan barat.

Jelas pengasas merangkap Chef Eksekutifnya, Nicholas Tan, burger zaman ini bukan lagi dianggap makanan jalanan, justeru kualiti dan mutu penghasilannya diangkat ke tahap lebih baik.

“Burger digemari semua peringkat usia dan bangsa. Ia mudah dihasilkan dan mengenyangkan. Dengan perkembangan media sosial ketika ini, burger mula diletakkan sebagai hidangan gourmet.

“Jadi Big Hug Burger cuma menambah kepelbagaian rasa burger itu dengan menghasilkan burger berinspirasikan menu timur dan barat,” katanya.

Bersama Ryan Gan selaku rakan niaga dan penyumbang idea kepada struktur operasi restoran di Subang Square, SS15 Subang Jaya itu, Big Hug Burger menampilkan pilihan enak seperti burger ketam, satay dan nachos.

Burger sate menepati selera tempatan kerana sos yang digunakan pada daging sama rasanya seperti kuah kacang pada sate.

Burger ketam pula lebih menjurus kepada selera gastronomi Jepun sementara burger naschos dipenuhi keju bersama sos istimewa.

“Saya sentiasa mahu lakukan sesuatu yang berbeza. Saya tidak mahu terikat dengan idea bahawa burger cumalah pati daging bersama salad yang diletakkan di antara dua kepingan roti.

“Selain itu, kami pentingkan kualiti dan memastikannya halal agar ia dapat dinikmati penggemar burger dalam kalangan pengunjung Islam,” tambah Tan.

Setiap patti daging di Big Hug Burger diimport dari Australia sementara bahan makanan laut kebanyakannya dari Jepun.

Bagi yang kurang gemarkan burger, Big Hug Burger tidak ketinggalan menghidangkan menu lain antaranya pasta cendawan yang menggunakan empat jenis cendawan.

Menariknya, pasta dan roti burger dihasilkan sendiri oleh Tan bersama beberapa kakitangannya.

Untuk maklumat lanjut dan menyertai gerakan burger di Big Hug, layari https://www.facebook.com/BigHugBurgers.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 12:19 PM