HO (kiri) dan Lim (dua dari kanan) melancarkan siri Dana Beta, semalam.
HO (kiri) dan Lim (dua dari kanan) melancarkan siri Dana Beta, semalam.

Kuala Lumpur: RHB Asset Management Sdn Bhd melancarkan produk siri Dana Beta untuk menyasarkan prestasi pasaran indeks tertentu yang menjadi produk pertama berasaskan Dana Dagangan Bursa (ETF) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Rantau bagi Edaran Runcit Kumpulannya, Ho Seng Yee berkata, dana itu mempunyai empat produk membabitkan Indeks Dana Beta RHB-OSK Amerika Syarikat, Indeks Dana RHB-OSK Jepun dan Indeks Dana Beta RHB-OSK Pasaran Pesat Berkembang Asia serta Indeks Dana Beta RHB-OSK Zon Eropah.

“Pengenalan siri ini akan menampung jurang signifikan dalam pasaran pengurusan aset di Malaysia yang kian matang, selain pelanggan turut boleh membuat pilihan mereka sendiri untuk memilih produk ditawarkan.

“Dana ini yang diedarkan menerusi kerjasama dengan OCBC (OCBC Bank Malaysia Bhd) ini akan menyediakan pelabur dengan akses berbeza dalam pendekatan pelaburan apabila membangunkan portfolio,” katanya pada majlis pelancaran dana itu di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Perkhidmatan Kewangan Pelanggan dan Pengurusan Kekayaan OCBC Bank, Lim Wyson.

Setiap siri dana itu, diedarkan secara eksklusif oleh OCBC Bank Malaysia Bhd berasaskan ETF tunggal yang diuruskan BlackRock. Yuran jualan bagi dana Beta ditetapkan pada dua peratus, jauh lebih rendah berbanding lima peratus bagi dana diuruskan secara aktif.

Langganan dana terbuka kepada pelabur yang layak terdiri daripada individu dengan aset peribadi bersih atau aset bersama keseluruhan dengan pasangan melebihi RM3 juta atau individu pendapatan tahunan kasar melebihi RM300,000 atau pendapatan bersama pasangan melebihi RM400,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 1:36 PM