Oleh Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Kerajaan hari ini memuktamadkan industri perhotelan dan restoran boleh mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan jika premis itu mempunyai perjanjian bersama (CA) dengan pihak kesatuan atau termaktub dalam kontrak pekerja.

Berikutan itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Alias Ahmad berkata, setiap premis yang mengenakan caj perkhidmatan wajib mempamerkan notis pemberitahuan mengenai premis mereka mengenakan caj itu kepada pelanggan.

Menurutnya, langkah itu bagi membolehkan pelanggan membuat pilihan sama ada mahu ke premis itu atau sebaliknya.

"Berhubung caj perkhidmatan ini, kerajaan tidak menetapkan kadarnya kerana ia ditetapkan oleh pengusaha hotel atau restoran.

"Secara purata, amalan biasa yang dikenakan kepada pengguna berhubung caj perkhidmatan ialah kira-kira 10 peratus," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, keputusan muktamad itu dibuat secara bersama dengan 18 pihak kesatuan dan persatuan hotel, restoran serta agensi kerajaan dalam mesyuarat Isnin lalu.

Dalam pada itu, Alias berkata, satu peraturan standard berhubung perkara itu sudah dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan kelulusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 3:53 PM