Oleh: Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Petra Jaya: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Perhutanan 2015, selepas majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokongnya bagi menggantikan Ordinan Perhutanan 1953.

Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar meluluskan Rang Undang-Undang yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah pembalakan haram selepas dibahas 20 ADUN termasuk 11 wakil parti pembangkang 5.30 petang tadi.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, membentangkan rang undang-undang itu pada Persidangan Hari Kedua, Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima, DUN Sarawak Ke-17.

Mengikut undang-undang baru itu, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM25,000 untuk setiap kesalahan berkaitan pembalakan haram.

Malah, pembalak haram yang didapati bersalah juga akan dihukum penjara selain Mahkamah akan mengarahkan mereka membayar royalti, premium dan bayaran yang dikenakan cukai tidak kurang sepuluh kali ganda kepada kerajaan negeri.

Bagi memantapkan penguatkuasaan, Rang Undang-Undang Perhutanan 2015 membolehkan penahanan dibuat tanpa memerlukan waran, kuasa kepada anggota penguatkuasa untuk menahan dan memeriksa kenderaan dan melucut hak terhadap barangan yang dirampas.

Awang Tengah ketika membentangkannya berkata, kerajaan negeri mencadangkan undang-undang itu untuk menambahbaik peraturan dalam industri pembalakan di Sarawak.

Ordinan Perhutanan 1953 yang digunapakai sebelum ini dikuatkuasakan pada 1 Januari 1954 dan dipinda sebanyak 28 kali sejak 1973.

Berdasarkan ordinan itu, tiada hukuman penjara diperuntukkan dan pesalah pembalakan haram hanya dikenakan denda RM200 bagi setiap kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 8:20 PM
Digital NSTP Subscribe