Khairy menyampaikan anugerah Media Sosial Cemerlang kategori Berita Online Bahasa Melayu kepada Munir pada majlis Anugerah Media Sosial dan Blogger Sedunia 2015 malam tadi. FOTO Abdullah Yusof
Oleh Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Harian Metro (HM) dipilih sebagai pemenang anugerah Media Sosial Cemerlang kategori Berita Online Bahasa Melayu pada majlis Anugerah Media Sosial dan Blogger Sedunia 2015 di Zebra Square, Jalan Kampung Pandan, di sini, malam tadi.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kepada Pengarang New Media Harian Metro, Munir An'am Zuljadan.

Munir berkata, kejayaan itu adalah kerjasama semua pihak bermula daripada wartawan yang menyalurkan maklumat dengan cepat ke unit New Media HM

"Pembaca online dan platform media sosial juga banyak menyumbang di mana mereka menyalurkan berita kepada rakan mereka.

"Itulah kunci kejayaan. Proses penyaluran berita tidak banyak berubah hanya pentas penyampaiannya berubah," katanya.

Pengiktirafan berkenaan adalah sempena Minggu Sosial Media Malaysia 2015 yang diadakan bermula 22 hingga 24 April ini.

Sembilan kategori dipertandingkan kepada umum iaitu blog berita terbaik, blog makanan terbaik, blog gajet dan teknologi terbaik, blog hiburan dan gosip terbaik, blog gaya hidup terbaik, blog fotografi terbaik, blog beli-belah terbaik, blog sukan terbaik dan blog melancong terbaik berdasarkan undian orang ramai.

Selain itu, 25 anugerah lagi turut dipertandingkan untuk kategori korporat yang dipilih khas oleh panel juri berdasarkan pembabitan aktif di media sosial.

Anugerah kategori Korporat yang dipertandingkan itu termasuk logistik dan perkhidmatan, Berita Bahasa Melayu Online, Berita Bahasa Inggeris Online, Agensi Sosial Media, Kempen Sosial Media dan telekomunikasi.

Selain daripada Harian Metro, Antara yang memenangi anugerah termasuk Maybank, Tenaga Nasional Berhad, Pos Malaysia dan Tune Talk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 10:59 PM