SAJITH memberi taklimat berkenaan sistem penggunaan telefon pintar untuk Internet bagi pengguna di Malaysia.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa mewujudkan laman sesawang dengan aplikasi mudah alih untuk meluaskan pemasaran produk dan perkhidmatan masing-masing kerana kaji selidik terbaru Google mendapati penggunaan telefon pintar di negara ini lebih tinggi daripada komputer iaitu pada paras 51 peratus berbanding 39 peratus.

Kajian itu mendapati Malaysia adalah salah satu daripada lima negara di dunia yang memiliki nisbah penggunaan telefon pintar lebih tinggi berbanding komputer dengan benua Asia mendahului dunia dalam penggunaan telefon pintar, pembelian atas talian dan perilaku carian atau tontonan.

Pengarah Urusan Google Malaysia (Google), Sajith Sivanandan berkata, perkara itu adalah kejutan terbesar kepada golongan PKS yang tidak memiliki laman sesawang dengan aplikasi mudah alih dan pendekatan sebelum ini dilihat tidak lagi sesuai dengan persekitaran perniagaan moden.

“Pada masa ini, setiap perniagaan perlu memikirkan mengenai kepentingan kemudahan mudah alih dalam kehidupan seharian pengguna kerana kaedah konvensional diibaratkan seperti menutup pintu kedai anda kepada pelanggan,” katanya pada sidang media sempena pengumuman kaji selidik Barometer Pengguna 2014, semalam.

Selain Malaysia, empat negara Asia yang mencatatkan nisbah penggunaan telefon pintar lebih tinggi berbanding komputer adalah Korea Selatan (80:70 peratus), Singapura (85:74 peratus), China (70:65 peratus) dan Hong Kong (74:61 peratus).

Beliau berkata, kaji selidik itu jelas menunjukkan pengguna Asia menguasai penggunaan Internet dengan Malaysia berada di hadapan dalam trend ini melalui penggunaan alatan mudah alih untuk akses berita, menonton video dan mencari perniagaan tempatan.

Menurutnya, Google mencadangkan agar pengguna di Asia termasuk PKS untuk bertukar kepada penggunaan landskap laman sesawang baru iaitu melalui penggunaan mudah alih daripada penggunaan Internet ‘desktop’.

Kaji Selidik Barometer Pengguna memberikan maklumat global terhadap tabiat atas talian pengguna melalui kerjasama dengan TNS di mana 150,000 temubual dilakukan di 56 negara bertujuan menyediakan maklumat terkini untuk pengiklan, agensi, media dan pihak akademik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:07 AM