HAZRIL MDNOR kagum dengan usaha Blizzard memperluaskan empayarnya ke dunia peranti pintar. Hearthstone bukan saja seronok malah menyediakan konsep permainan yang baru kepada semua.

Hearthstone (2014) adalah permainan kad koleksi digital yang memfokuskan perlawanan berasaskan giliran antara dua lawan dikendalikan melalui Battle.net Blizzard dan boleh dimuat turun di Playstore dan AppStore. Pada 14 April lalu, Hearthstone dikeluarkan di landasan telefon pintar, sekali gus memperluaskan empayarnya.

Walaupun terdapat lebih daripada 10 jenis aplikasi permainan memfokuskan penggunaan kad, Hearthstone ternyata berada dalam liga tersendiri. Grafik menakjubkan dan animasi sentuhan moden berupaya menarik perhatian sesiapa saja yang meminati aplikasi permainan di peranti pintar.

Permulaannya menyaksikan pemain memulakan permainan dengan menggunakan karakter popular Warcraft, Jaina Proudmoore. Dengan hanya berbekalkan koleksi kad biasa, tutorial boleh dilepasi dengan mudah kerana pihak lawan tidaklah menggunakan koleksi kad yang hebat.

Ciri menarik

Dari segi ciri ditawarkan, pemain akan diwakili oleh hero iaitu karakter penting yang ada dalam dunia Warcraft. Setiap hero tampil dalam ‘class’ berbeza yang menentukan kad istimewa dan kuasa unik hero. Dengan hanya berbekalkan 30 nyawa bagi setiap hero, pemain perlu mengangkat bendera putih apabila nyawa itu mencecah angka kosong.

Apa yang menarik perhatian penulis ialah keseragaman kad dengan pelbagai elemen. Pemain boleh mencipta pelbagai koleksi kad dengan mencampurkan kad berlainan jenis ke dalam satu susunan ‘deck’.

Untuk memperoleh kad lebih hebat dari segi kuasa dan kekuatan, pemain boleh membeli pek kad ataupun memperolehnya sebagai ganjaran menyelesaikan tugasan harian yang disediakan.

Permainan ini ternyata seronok kerana boleh dimainkan bersama rakan melalui fungsi ‘duels’ apabila pemain mampu bersaing dengan kenalan di Battle.net. Aplikasi ini juga menawarkan fungsi pertarungan dengan pemain lain dari seluruh dunia dan juga tidak ketinggalan mod praktis yang boleh meningkatkan kemahiran pemain.

Strategi diutamakan

Kad hebat saja tidak mencukupi kerana permainan ini menekankan konsep strategi dan fokus tinggi diperlukan untuk memenangi pertarungan. Justeru, strategi perlu diatur dari awal permainan demi meraih peluang tinggi memenangi perlawanan.

Contohnya, setiap kad yang ingin dijelmakan ke medan pertarungan perlu menggunakan ‘mana’ dan penggunaan ‘mana’ bergantung pada kekuatan kad yang ingin ditampilkan. Oleh itu, anda perlu membahagikan ‘mana’ dengan betul. Terlalu banyak kad serangan tidak bermakna anda akan menang dengan mudah dan terlalu banyak kad sokongan juga akan melemahkan anda.

Strategi lain boleh digunakan ialah menggunakan kad sokongan pada saat sesuai dan bukan digunakan sesuka hati. Jika kad serangan di medan pertarungan sedang mengalami kekalahan, anda boleh sertakan kad sokongan untuk membekukan, melemahkan ataupun menambah kekuatan kad di medan tempur.

Sesetengah hero mempunyai keistimewaan tersendiri contohnya penggunaan senjata. Berbekalkan kelebihan itu, pemain boleh menguatkan lagi serangan hero dengan menggunakan gabungan kad sokongan yang betul. Menariknya, hero sedemikian mempunyai kelebihan untuk mencederakan hero pihak lawan secara langsung tanpa perlu berdepan dengan kad serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:09 AM