Kuala Lumpur: BIMB Holdings Bhd (BHB) yang memiliki Bank Islam Bhd, masih berminat untuk mengambil alih kepentingan atau menguasai pengurusan Bank Syariah Indonesia sebagai sebahagian pelan pengembangannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Johan Abdullah berkata, perbincangan mengenai pekara itu masih pada peringkat awal dan belum ada perkembangan nyata.

“Kami mungkin mengambil alih kepentingan dalam bank. Bagaimanapun, senario sudah berubah. Kami perlu mengambil kira perubahan dalam peraturan iaitu warga asing tidak boleh memiliki lebih daripada 50 peratus ekuiti,” katanya pada sidang media di luar mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat, di sini, semalam.

Berikutan ketidaktentuan peraturan di Indonesia, Johan berkata, kumpulan itu akan berbincang dengan pihak berkuasa negara berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan mengambil alih kepentingan dalam bank. Awal bulan ini, dilaporkan bahawa BHB sedang mengintai kepentingan dalam Bank Syariah Indonesia.

“Secara prinsipnya kami mahu berkembang berdasarkan objektif perniagaan yang jelas. Tidak ada gunanya melebarkan sayap di rantau ini jika tidak jelas mengenai undang-undang Indonesia. Kami mahu mengawal pengurusan,” katanya menambah, BHB sedang menilai situasi semasa dan kesan pilihan raya presiden Indonesia.

Pada EGM itu, pemilik saham bersetuju dengan pelan pelaburan semula dividen (DRP) yang memberi mereka pilihan sama ada untuk melabur semula sepenuhnya atau sebahagian sahaja daripada dividen tunai menerusi saham biasa baru bernilai RM1 seunit dalam BHB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:08 AM
Digital NSTP Subscribe