HAFIZ bakal adakan konsert jelajah.
HAFIZ bakal adakan konsert jelajah.
KEADAAN butik Hafiz yang digenangi air akibat siling bocor.
KEADAAN butik Hafiz yang digenangi air akibat siling bocor.
KEADAAN butik Hafiz yang digenangi air akibat siling bocor.
KEADAAN butik Hafiz yang digenangi air akibat siling bocor.
Oleh Norhayati Nordin


Buka saja cerita mengenai perniagaan, pasti banyak yang sedia dibicarakan komposer dan penyanyi nasyid terkenal, Hafiz Hamidun. Justeru, tak hairanlah apabila dia mendapat jolokan ‘jutawan muda’.

Mengakui dia belum lagi layak berada pada tahap itu, Hafiz, 31, kini bukan saja aktif menerajui syarikat rakamannya, Arteffects International, tetapi dia juga sibuk mengusahakan butik pakaian Mikraj Concept.

Pun begitu, adat orang berniaga tidak mampu mengelak kerugian apabila berlaku kebocoran pada siling di butik pakaian itu yang beroperasi sejak September tahun lalu di pusat beli-belah terkemuka di Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hafiz berkata, akibat kebocoran siling itu menyebabkan butiknya dilimpahi air dan anggaran jumlah kerugian ditanggung pula hampir mencecah RM100,000.

“Sebenarnya masalah siling bocor dalam butik saya itu sudah dikesan sejak mula beroperasi lagi. Bahkan, aduan pun pernah saya buat kepada pihak pengurusan terbabit untuk membaikinya sebelum berlaku masalah.

“Tetapi, sikap acuh tidak acuh pihak pengurusan akhirnya menjadikan masalah itu semakin buruk dan paling teruk siling bocor berkenaan menyebabkan butik saya akhirnya bertukar menjadi kawasan ‘air terjun’.

“Saya kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab itu dan sejak 31 Mac lalu semua barangan jualan terpaksa dipindahkan ke pejabat Arteffects International di Neo Damansara,” katanya.

Menurut Hafiz, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan pusat beli-belah berkenaan jika masih enggan bertanggungjawab di atas kerugian ditanggungnya.

Terdahulu, Hafiz tampil melancarkan album terbaru I Love Rasulullah di ibu kota, kelmarin dan pada majlis itu dia juga meraih anugerah Platinum kerana jualan albumnya melebihi 10,000 unit dalam tempoh sebulan.

“Saya sangat bersyukur album I Love Rasulullah ini diterima baik pendengar muzik tempatan dan hingga kini sudah 13,000 unit dijual. Bagi saya, kejayaan album ini diperoleh kerana ia muncul pada masa sesuai.

“Ditambah, saya juga aktif mengatur strategi pemasaran dan promosi yang mantap melalui laman sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook banyak membantu saya mendekati peminat,” katanya.

Antara lagu dimuatkan dalam album I Love Rasulullah itu ialah Penyelamat, Habeeb, Bukti Cintaku, Kasih Padamu, Lawkana Bainana,Sollu Ala Khairil Anam, Ya Rasul, Tolaal Badru Alaina dan Pemergian Rasul.

Hafiz berkata, selain itu pasaran berkonsepkan digital seperti iTunes, Spotify, Deezer, Kkbox dan portal CD Nasyid juga membantu penjualan album ini. Apapun, katanya ia bukan satu kerja mudah tanpa usaha yang kuat.

Mengulas mengenai permintaan peminat untuk menganjurkan konsert seperti sebelum ini, Hafiz berkata, dia kini dalam perancangan mengadakan siri konsert jelajah di lima lokasi iaitu Selangor, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak pada Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 12:08 PM