Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Menikmati daging itik yang dibalut bersama roti jala serta dicicah sos memang jarang didapati malah inilah kali pertama penulis mencubanya.

Inilah kelainan hidangan ‘peking duck wrap with roti jala’ di Restoran Melur & Thyme di NU Sentral, Kuala Lumpur. Ia dikatakan popular di Sepanyol.

Pemilik Restoran, Sharifah Nur Diyana Syed Zulkiflee berkata, idea itu tercetus apabila pertama kali mencuba masakan itik ketika menuntut di United Kingdom sekitar tahun 2009.

Dek terpikat dengan keistimewaan menu itik, dia sanggup terbang ke China untuk mendalami teknik penyediaan masakan itik.

“Di China, hidangan itik peking dihidangkan bersama arak putih, tetapi saya tidak boleh melakukan kaedah yang sama di Malaysia, justeru mencuba cara lain yang halal,” katanya.

Katanya, adalah ‘peking duck wrap with roti jala’ hidangan istimewa yang ringkas kerana ia menggunakan daging itik yang dihiris, roti jala, daun salad serta tiga jenis sos istimewa.

“Kami sengaja tidak menggoreng supaya hidangan ini lebih menyihatkan,” katanya.

Dijual pada harga RM32, hidangan ini nyata tidak mengecewakan terutama anda yang menggemari itik.

Hidangan lain yang mesti dicuba di restoran ini ialah ‘plancha seafood spaghetti’ yang dimasak menggunakan krim tomato dan ‘crispy chili baby crab.’

Ketam yang dimasak sambal cili itu mempunyai keunikan tersendiri dan menggunakan ketam cili yang lembut.

“Pengunjung juga perlu mencuba salad daging Thai, daging rusa panggang dicicah bersama sos asam jawa, ikan salmon makan lemak dan penang char kuetiau.

“Hidangan daripada Melur dengan menu Asia dan Thyme iaitu hidangan Barat memberikan banyak pilihan,”katanya.

Bermula Mac lalu, Melur & Thyme di NU Sentral memperkenalkan menu berbeku dengan menghidangkan kambing, ayam, udang dan hidangan sampingan seperti tapas dan macam-macam lagi setiap setiap hujung minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 1:53 PM