ARSHAD bergambar bersama medal dimenanginya.
Oleh Azma Razana Johari

Nibong Tebal: Peserta paling veteran pada Sirkit 3 Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, Sabtu lalu bangga kerana mampu menghabiskan kayuhan dan menduduki tempat ke-716 daripada 1,300 pelumba.

Arshad Nordin atau lebih mesra disapa Pak Cat, 65, berkata, aksi di Nibong Tebal itu penyertaan keempatnya dalam Harian Metro MTB bagi kategori Jamboree Master.

“Saya memang meminati sukan basikal lasak dan selalu menyertai pertandingan yang diadakan di sekitar utara tanah air, ” katanya.

Sebelum ini, dia pernah menyertai kejohanan sama di Batu Gajah dan Lembah Bujang, tahun lalu diikuti Kuala Kangsar, Ogos lalu dan Nibong Tebal.

Menurutnya, dia mula menyertai sukan lasak pada 2005 selepas diajak rakan-rakannya dan jatuh cinta dengan aktiviti berbasikal ini.

“Sukan basikal lasak ini bukan saja menyihatkan tubuh malah dapat mengeratkan silaturahim serta menambah kenalan,” katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Bapa lima anak itu berkata, kini empat menantu lelakinya turut sama meminati sukan berbasikal dan jika ada kelapangan, mereka akan sama-sama mengayuh basikal.

Katanya, dia tidak mengamalkan sebarang petua selain sentiasa minum air masak dalam kuantiti banyak serta mengelak mengambil ais.

“Amalkan minum air masak dan elakkan mengambil air batu supaya badan kita tidak lemah,” katanya.

Menurutnya, untuk memastikan dirinya sentiasa bersedia dan bertenaga, dia membuat latihan setiap hari dengan mengayuh sejauh 30 kilometer di sekitar Taiping.

“Saya bukan mencari kemenangan, tetapi lebih kepada memberi sokongan terhadap sukan berbasikal ini, sekali gus ingin membuktikan golongan veteran juga mampu menyahut cabaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:09 AM