Gunsan City: Juara bertahan, Malaysia dan pencabar utama, Thailand membuka langkah kanan pada hari pembukaan Siri Super ISTAF Korea di Arena Wolmyeong dengan berlatar belakangkan majlis pembukaan gilang-gemilang.

Pasukan negara yang mencipta sejarah apabila menewaskan Thailand bagi kejayaan sulung Siri Super, Februari lalu bergelut sebelum menang 21-8, 21-19 ke atas China dalam Kumpulan B.

Terdahulu mereka mengambil masa kurang 40 minit untuk menewaskan Myanmar 21-14, 21-15 bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir.

Tercicir daripada barisan skuad negara adalah tekong Syahir Rosdi dan Mohammad Hanafiah yang berperanan besar ketika Malaysia menang 2-0 ke atas Thailand, dua bulan lalu, dengan hanya Khairul Zaman (pengumpan) disenaraikan.

Namun, ia tidak mendatangkan masalah buat trio negara pada set pertama ketika rejaman berbisa Sahidan Ali di segenap penjuru gelanggang menghadirkan masalah buat regu China manakala Zuleffendi Sumari (pengumpan) dan Mohd Zamree (perejam) menambah kepada derita lawan menerusi rejaman tajam ketika Malaysia meraih kemenangan mudah 21-8 dalam 15 minit.

Set kedua menyaksikan regu negara sedikit goyah ketika tekong China, Zhang Ru Hao, Wu Hao Ran (apit kiri) dan Fan Xu (apit kanan) mendahului 5-4 dan mereka bertukar-tukar mata sehingga kedudukan 17-17 sebelum pemain negara menjarakkan kedudukan dengan dua mata berturut-turut.

Ketika regu lelaki negara bermula langkah kanan, trio wanita Malaysia, Norzubaidah Che Waab (tekong), Nor Farhana Ismail (apit kiri) dan Elly Syahira Rosli (apit kanan) terpaksa akur dengan kekalahan 19-21, 9-21 kepada Korea.

Regu wanita kebangsaan dijadual bertemu juara bertahan, Thailand, hari ini dan perlu bangkit untuk menyalakan impian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 10:50 AM