Shazalli (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa menandatangani kerjasama, semalam.

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) mengukuhkan usaha sama menandatangani perjanjian kepada penyediaan tambahan tapak rangkaian Evolusi Jangka Panjang (LTE) melalui perkhidmatan TM Next-Gen Backhaul berikutan perjanjian persefahaman yang ditandatangani pada November 2013.

Melalui fasa kedua perjanjian kerjasama rangkaian itu, TM akan terus menyokong keperluan transmisi Celcom sekali gus membolehkan penyediakan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih terbesar itu mengoptimumkan kos dan efisien bagi penggunaan kemudahannya di samping mengelakkan pertindihan terhadap infrastruktur rangkaiannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datuk Seri Shazalli Ramly berkata, kerjasama itu bersejarah bagi Celcom kerana ia mempamerkan hubungan industri dan sejajar dengan objektif negara di samping mengambil langkah lebih tepat bagi mencapai kecemerlangan dalam pengalaman pelanggan.

“Kami kekal komited untuk meningkatkan kecemerlangan rangkaian dan meluaskan serta mempercepatkan pembangunan rangkaian LTE kami di seluruh negara untuk mengekalkan rangkaian berkualiti dan merangsang pengalaman Internet dipertingkatkan untuk pelanggan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian terbabit di sini, semalam.

Perjanjian itu menyaksikan TM meluaskan tapak LTE tambahan yang diperuntukkan melalui fokus terhadap Putrajaya, Lembah Klang, Johor Bahru, Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan pemasangan optik gentian yang dilihat mampu memenuhi perluasan dan menampung kapasiti jalur lebar tinggi untuk tempoh sepuluh tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 12:52 PM