ANTARA rekaan persalinan ratu sehari yang dihasilkan.
ANTARA rekaan persalinan ratu sehari yang dihasilkan.
ANAS sentiasa memastikan pelanggannya berpuas hati dengan rekaan dihasilkan.
LAKARAN rekaan dilakukan penuh teliti.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my

Majlis perkahwinan yang sempurna dan mendapat pujian ramai menjadi impian setiap bakal pengantin. Bukan itu saja, penampilan ratu dan raja sehari yang secocok dan sempurna juga memainkan peranan penting untuk menjadikan majlis resepsi bertambah meriah.

Di sebalik keghairahan memilih tema majlis diidamkan, jangan kita lupa untuk mengamalkan sikap bersederhana bagi mengelakkan pembaziran hingga berbelanja berlebihan.

Menurut perancang perkahwinan dan pereka Keqaseh, Anas Abdullah, terdapat enam perkara penting yang perlu diambil perhatian untuk memastikan majlis resepsi berjalan sempurna.

“Apabila sudah menetapkan tarikh majlis perkahwinan, seeloknya lakukan tinjauan pakej perkahwinan sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.

“Persiapan awal akan membantu kita membuat keputusan yang terbaik bagi mengelakkan berbelanja berlebihan dan masalah lain yang timbul sepanjang majlis berlangsung.

“Antara enam perkara yang perlu diberi perhatian ialah memilih lokasi serta pakej katering, baju, mekap, pelamin dan jurugambar yang berpatutan mengikut kemampuan,” katanya.

Ujarnya, pilihan lokasi sama ada di dewan, hotel atau rumah sangat penting dalam memilih persalinan dan konsep pelamin yang sesuai dan menarik.

Selain itu, jika mahu mengambil pakej katering, pastikan harga, kualiti dan perkhidmatan yang disediakan bebas risiko daripada sebarang penipuan serta masalah lain.

Selepas memilih pakej katering yang menarik, tempahan baju perkahwinan jangan dilupakan. Ketika memilih persalinan dua perkara yang perlu ditekankan iaitu warna dan rekaan sesuai.

Setiap individu mempunyai warna kulit dan bentuk badan berlainan. Tidak semestinya, pakaian yang tampak cantik digayakan oleh model di dalam majalah sesuai untuk anda.

Justeru, pilih warna sesuai dengan ton kulit untuk membantu mengelakkan penampilan yang suram di atas pelamin.

“Pada masa sama, kita juga perlu melihat warna kulit kedua-dua bakal mempelai. Misalnya, jika ton kulit kita cerah dan warna kulit pasangan pula agak gelap, sebaiknya pilih rona pastel bagi menjadikan penampilan tampak segar.

“Bagi pasangan berkulit cerah tidak ada masalah untuk memilih sebarang warna malah boleh menggayakan pelbagai warna yang jarang dicuba seperti biru diraja dan hijau zamrud.

“Untuk mendapatkan potongan dan rekaan baju yang sesuai mengikut bentuk badan, sebaiknya datang ke butik andaman dan cuba terlebih dulu persalinan bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

Misalnya, individu memiliki tubuh rendah perlu memilih rekaan yang mempunyai potongan bawah dada untuk memberi kesan tubuh yang tinggi.

Selain itu, jaluran menegak pada penggunaan kain net sebagai fabrik tambahan pada persalinan juga membantu memberi kesan badan yang tinggi kepada si pemakai.

Persalinan yang direka dengan layah labuh dan meleret boleh digayakan jika majlis berlangsung di dalam hotel ataupun dewan kerana memiliki saiz ruang yang agak besar berbanding di khemah.

Perkara keempat yang harus dititikberatkan di dalam majlis perkahwinan ialah memilih jurusolek yang mahir. Pastikan jurusolek itu mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam menggunakan produk mekap.

Ini bagi mengelakkan kesan negatif seperti iritasi yang berlaku pada kulit wajah apabila menggunakan produk solekan tiruan sekali gus menjejaskan penampilan di atas pelamin.

Pada masa sama, pilihan set pelamin juga perlu mengikut lokasi yang dipilih. Misalnya, set pelamin yang dipilih bersaiz sederhana atau besar jika majlis dilakukan di dalam dewan.

Perkara terakhir yang perlu disediakan awal ialah memilih pakej jurugambar yang mahir dan menawarkan harga berpatutan. Ini kerana setiap detik indah di dalam majlis resepsi perlu dirakam oleh jurugambar mahir untuk dijadikan kenangan pada masa akan datang.

Mengimbau kembali detik bermulanya menubuhkan butik perkahwinan, Anas berkata semuanya bermula pada 2008. Ketika itu, ayahnya baru berpindah ke Kajang selepas pencen.

“Justeru, ayah dan ibu mahu saya mengadakan majlis perkahwinan di kediaman mereka di Kajang. Selepas bersetuju, saya mula melakukan tinjauan harga di beberapa butik perkahwinan, malangnya tidak dilayan dan dipandang rendah kerana hanya menggayakan pakaian yang ringkas.

“Ketika itu, saya berasa kecewa dan membuat keputusan untuk membeli set pelamin untuk diubah sendiri. Tanpa disangka kebanyakan tetamu memuji set pelamin itu yang tampak menarik.

“Namun, masih belum terfikir untuk menerima tempahan kerana saya mempunyai kerjaya tetap. Selesai majlis, set pelamin yang dibeli disimpan di bahagian tepi rumah,” katanya.

Kebanyakan orang yang melalui kediamannya bertanya mengenai set pelamin berkenaan dan ada pula yang mahu menempah untuk majlis perkahwinan mereka.

Apabila berfikir ia boleh mendatangkan kebaikan kepada individu lain, Anas mencuba peluang untuk menerima tempahan membuat set pelamin.

Setiap minggu dia akan pulang ke Kajang memandangkan Anas masih bekerja di Johor untuk memastikan setiap tempahan pelamin dapat disiapkan mengikut cita rasa pelanggan.

Permintaan semakin meningkat dan dia mengambil keputusan berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan kepada perniagaannya itu. Kebetulan, Anas memiliki bakat melukis dan dia tidak mahu mensia-siakan kemahiran berkenaan.

Dia juga bernasib baik kerana memiliki ibu saudara yang mahir menjahit dan boleh memahami setiap lakaran rekaan yang dihasilkannya. Selepas pakaian siap dijahit, tugas beralih kepada Anas untuk menambah perincian atau fabrik lain bagi menjadikan rekaan tampak anggun.

Anas yang memilih menghasilkan koleksi persalinan yang ringkas namun masih mampu menonjolkan keanggunan si pemakai lebih dikenali dengan hasil kerja tangan menggunakan renda perada dan manik yang sederhana.

Sejak terbabit dalam butik perkahwinan, banyak pengalaman manis yang dikutip bagi memantapkan lagi perkhidmatannya kepada pelanggan.

Ujarnya, pengalaman menyiapkan persalinan pengantin golongan kurang upaya (OKU) banyak mencabar dirinya dari segi komunikasi dan juga rekaan pakaian yang sesuai.

Misalnya, dia perlu bijak memilih rekaan pakaian yang sesuai untuk pengantin OKU berkerusi roda. Ini kerana dia perlu menyediakan pakaian yang tidak meleret supaya tidak tersangkut pada roda.

Bagi pemilihan warna, dia lebih gemar memilih warna pastel berbanding rona terang bagi menonjolkan gaya sopan, manis dan anggun pada hari bersejarah pengantin OKU.

Selain menerima tempahan pakaian pengantin, kini Anas juga terbabit dalam rancangan khas bertajuk Ilham Pesona bersama Anas Abdullah di siaran radio tempatan sebanyak 13 episod setiap Isnin jam 10.15 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:03 AM