PEMAIN Sevilla ceria meraikan kejayaan menyingkirkan Zenit.
PEMAIN Sevilla ceria meraikan kejayaan menyingkirkan Zenit.

Paris: Penyandang juara Sevilla memastikan tempat ke separuh akhir Liga Europa selepas keputusan seri dramatik 2-2 dengan Zenit St Petersburg di Russia menyaksikan mereka mara 4-3 secara agregat.

Kelab Sepanyol itu mensia-siakan kelebihan apabila melepaskan dua gol pada babak kedua dan perlawanan itu kelihatan menuju ke masa tambahan sebelum pemain gantian Kevin Gameiro (gambar) meledak gol lima minit sebelum tamat.

Penyerang Perancis yang menyempurnakan gol penalti kemenangan ketika penentuan penalti menentang Benfica pada final musim lalu bagi mengesahkan trofi buat pasukan kendalian Unai Emery, menewaskan Yuri Lodygin dengan rembatan leret sekali gus membuatkan penyokong di Stadium Petrovski terdiam.

Selepas menang 2-1 pada suku akhir pertama di Sepanyol minggu lalu, Sevilla berada pada posisi terbaik apabila Carlos Bacca menyumbat penalti pada minit keenam bagi gol ke-22 buatnya musim ini selepas Vitolo dijatuhkan Luis Neto.

Zenit perlu menjaringkan dua gol tanpa balas bagi memaksa masa tambahan namun mereka diberi harapan selepas rehat apabila Jose Rondon menjaringkan gol selepas penjaga gol Beto menampan hantaran lintang Oleg Shatov.

Kemudian bintang Brazil, Hulk menyamakan agregat dengan rembatan menakjubkan dari jarak 35 meter yang terkena palang sebelum jatuh melepasi garisan.

Namun Gameiro tampil menyingkirkan kelab pendahulu Liga Perdana Russia bimbingan Andre Villas-Boas itu daripada pertandingan Eropah. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:11 AM