AFP

London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger berharap tuah kali ke-13 memihaknya dalam menentang Jose Mourinho malam esok ketika pasukannya berusaha menangguhkan kemahkotaan Chelsea sebagai juara Liga Perdana Inggeris.

Wenger tidak pernah berjaya ketika menentang Mourinho dalam 12 percubaan dan jika beliau bergantung kepada statistik sekalipun di Stadium Emirates malam esok, ia tidak mungkin menghalang Chelsea daripada meraih kejuaraan.

Selepas merakam kemenangan 1-0 ke atas pasukan tangga ketiga Manchester United hujung minggu lalu, Chelsea kini 10 mata di depan Arsenal di puncak liga dengan baki enam perlawanan.

Jika menang malam esok, mereka hanya perlukan tiga mata daripada kunjungan ke Leicester City awal pagi Khamis ini bagi merangkul kejuaraan liga pertama sejak 2010.

Namun ketika kejuaraan dilihat menuju ke Stamford Bridge, Arsenal tetap bersemangat dengan rentetan sembilan kemenangan termasuk mengalahkan Reading pada separuh akhir Piala FA yang membantu juara bertahan itu layak ke final.

Pertembungan jiran setempat London malam esok menyaksikan pemain tengah Chelsea, Cesc Fabregas kembali ke kelab itu selepas menghabiskan lapan tahun bersama termasuk tiga tahun sebagai kapten dan Wenger berharap dia disambut dengan baik.

“Saya mahu setiap orang dihormati termasuk Fabregas apabila dia hadir di Emirates Ahad ini,” kata pengendali dari Perancis itu, yang bertikam lidah dengan Mourinho di tepi padang ketika perlawanan Oktober lalu.

Pertahanan tengah Per Mertesacker berpeluang ‘50-50’ untuk diturunkan, menurut Wenger, selepas cedera buku lali ketika menang 2-1 ke atas Reading di Wembley.

Dua pemain tengah Mikel Arteta dan Alex Oxlade-Chamberlain kembali berlatih selepas kecederaan panjang namun mungkin belum bersedia tampil dalam pasukan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:13 AM