Kuala Lumpur: Angkara penyokong tidak serik membuat onar, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menerima padah apabila didenda RM25,000 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana dua kesalahan berbeza.

Hukuman itu diputuskan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM kelmarin dengan PBNP terpaksa membayar denda atas kesalahan dilakukan penyokong yang menyalakan suar ketika menentang Selangor di Stadium Darul Makmur pada 14 Februari lalu.

Mereka juga melakukan satu lagi kesalahan dengan membaling bom asap ketika bertandang ke gelanggang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada 14 Mac lalu.

“Bagi kesalahan pertama, Jawatankuasa Tatatertib FAM mendapati PBNP bersalah kerana melanggar Kod Tatatertib FAM, Artikel 70 yang membabitkan tanggungjawab terhadap kelakuan penonton. PBNP didenda RM10,000 yang juga kesalahan berulang mengikut Kod Tatatertib FAM, Artikel 42.

“Bagi kesalahan kedua, tindakan penyokong PBNP membaling bom asap pada aksi Liga Super di antara ATM menentang Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 14 Mac lalu menyebabkan mereka didenda RM15,000,” kata FAM.

Sementara itu, denda RM10,000 dikenakan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) atas kesalahan penyokong membakar dan membaling suar semasa dan selepas menentang Pulau Pinang dalam aksi Liga Perdana di Stadium Bandaraya pada 13 Mac lalu.

Turut menerima nasib malang, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) kerana melanggar Kod Tatatertib FAM, Artikel 70 para 2 membabitkan tanggungjawab kelakuan penonton, didenda RM20,000.

Namun Jawatankuasa Tatatertib FAM tetap memberi kelonggaran dengan semua persatuan negeri terbabit masih boleh merayu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:21 AM