Sejak kebelakangan ini kereta saya yang berumur lebih 10 tahun berbau petrol, namun saya gagal mengesan puncanya.

Selain itu, ekzos mengeluarkan bau sangat tengik dan kadangkala putaran per minit (rpm) enjin kereta saya tidak stabil.

SOFIAN, Kuala Lumpur

Berdasarkan beberapa petanda dinyatakan, mungkin kereta itu sudah berumur dan tidak disenggara dengan baik.

Bau petrol dalam kereta berpunca daripada kebocoran, sama ada di bahagian enjin dan menyusup ke dalam kabin kereta melalui saluran udara atau di salur paip penghantaran dan tangki petrol.

Kebocoran petrol penting ditangani kerana wap itu mudah terbakar apabila terdedah kepada percikan elektrik yang kecil seperti litar pintas.

Dalam kes lain, bau petrol boleh berpunca kerana campuran udara dan bahan api yang terlalu banyak serta meruap dari karburetor.

Masalah bau tengik yang saudara hadapi itu berkemungkinan besar adalah gabungan beberapa masalah dalam enjin.

Kerosakan atau kekurangan pada kereta harus dikenali supaya ditangani dengan cepat bagi mengelak kerosakan lebih melarat.

Ini bermakna, penalaan enjin harus diperiksa semula memandangkan rpm kurang stabil dan berkemungkinan ia tidak mampu membakar campuran udara dan bahan api dengan baik serta menyebabkan pembaziran.

Ia juga boleh berlaku jika mampatan enjin menurun disebabkan kebocoran yang mungkin berpunca daripada kehausan atau kerosakan.

Minta pendapat mekanik berpengalaman untuk memeriksa mampatan enjin anda dan sentiasa memeriksa tahap minyak pelincir bagi mengelak kerosakan lebih besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 5:05 AM