FOTO kiriman rakan Qabin di Nepal
FOTO kiriman rakan Qabin di Nepal
Oleh Amir Abd Hamid dan Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Seramai 13 peserta yang mengambil bahagian dalam Ekspedisi KE7B Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna iaitu latihan persiapan dan pemilihan peserta untuk melaksanakan ekspedisi Rekod Dunia kayuhan dan pendakian Tanjung Piai -Everest Tibet pada tahun depan, dilaporkan selamat dalam gempa bumi melanda Nepal, semalam.

Presiden KE7B Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin, 33, atau Qobin berkata, semua 13 peserta itu ketika ini berada di lokasi selamat di bandar Kathmandu.

Katanya, semua 13 peserta yang ke Nepal pada Jumaat lalu itu ialah Hafiz Wong Ah Thiam, Asmaruddin Jamaluddin, Nazahiyah Mohd Hadzir, Ahmad Shahir Noh, Zulkifli Yusof, Muhammad Irwan Yusuf, Nurshafiqah Mohd Haris, Khairil Aslan Ab Rasid, Muhamad Aliff Abdullah, Wong Wai Yein, Harith Muhadzir, Shahrom Abdullah dan Mohamad Ramdan.

“Saya sepatutnya menyertai mereka semalam namun terpaksa dibatalkan sebab lapangan terbang Kathmandu tutup. Mereka seharusnya menuju ke Beshisahar tempat permulaan kayuhan pada hari ini dengan menggunakan bas. Namun ada beberapa jalan masih ditutup.

“Buat masa ini, saya mendapat maklumat peserta sihat dan selamat walaupun ada yang risau dan sedikit trauma. Gempa bumi yang berlaku dikhabarkan hanya dalam lingkungan 100 Kilometer dari Kathmandu

“Sebarang keputusan samada ekspedisi diteruskan atau dibatalkan akan saya maklumkan pada malam nanti,” katanya ketika kepada Harian Metro sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2015 @ 4:36 PM