CHONG Wei (kiri) ceria hukuman bakal berakhir.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Putrajaya: Mimpi ngeri Datuk Lee Chong Wei bakal berakhir 1 Mei ini apabila dibebaskan secara rasmi daripada penggantungan penyalahgunaan bahan terlarang oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Tarikh itu juga dilihat cukup bermakna buat dirinya kerana ia ulang tahun kelahiran ke-32 isterinya, Wong Mew Choo selepas turut berada dalam tekanan dengan permasalahan yang menimpa Chong Wei.

Namun persoalannya siapakah yang bersalah dalam kes ini apabila Chong Wei menegaskan dia tidak bersalah dengan pengambilan dexamethasone yang terdapat dalam kapsul Cordyceps, ubat herba semula jadi yang diambilnya ketika berusia 13 tahun.

Biarpun gembira dengan keputusan itu, pemain yang hilang ranking nombor satu dunia itu akan berbincang lanjut bersama peguam dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sama ada membuat rayuan ataupun tidak.

“Saya gembira dapat kembali ke gelanggang dengan cepat dan semuanya sudah selesai selepas menunggu lebih daripada enam bulan, tempoh itu saya rasa bagai dua tahun lamanya.

“Namun percayalah semua ini bukan salah saya. Saya makan ubat itu ketika berusia 13 tahun dan sejak 2007 saya mula konsisten mengambilnya, tujuh tahun lamanya. Setiap kali ambil makan tambahan itu saya akan rujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN).

“Saya harap isu ini menjadi iktibar kepada ISN agar lebih peka untuk menjaga atlet selepas ini,” katanya .

Chong Wei dikesan menggunakan bahan terlarang itu ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark Ogos tahun lalu.

Chong Wei bagaimanapun berkata, dia belum memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pengeluar makanan tambahan itu kerana baru mendapat keputusan semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 7:54 AM