LYDIA bersama kedinya, Jason Hamilton.
AFP

San Francisco: Pemain nombor satu dunia, Lydia Ko membenam birdie di lubang play-off kedua, sekali gus mengatasi Morgan Pressel bagi membolehkan bintang remaja itu menjulang mahkota Kejohanan Klasik Swinging Skirts LPGA.

Lydia yang baru mencecah usia 18 tahun Jumaat lalu, menjulang gelaran sama dan kejayaan pertamanya selaku profesional tahun lalu.

“Minggu ini, pukulan saya semuanya menjadi,” kata Lydia. “Ia membuatkan permainan menjadi mudah. Tahun lalu, permainan saya tidak begitu baik.”

Gelaran itu yang ketujuh dalam Jelajah LPGA buat Lydia dan kelima sejak bermulanya musim 2014.

Dia melakar dua bawah par 70 pada hari terakhir sekali gus menamatkan saingan dengan berkongsi pendahuluan bersama Morgan, lapan bawah par 280.

Morgan mencatat 72 pukulan di hari terakhir dan membenam birdie di lubang play-off pertama, tetapi gagal mengulanginya di lubang kedua. Morgan sekali lagi berputih mata dalam usaha memburu gelaran Jelajah LPGA pertama sejak 2008.

Brooke Henderson, 17, yang mendahului hari kedua dan ketiga, menamatkan saingan dengan 2 atas par 74 untuk berada di kedudukan ketiga, tujuh bawah par 281.

Pemain Korea Selatan, Kwak Min-Seo mencatat 74 pukulan pada hari terakhir, tetapi sudah memadai baginya berada di tangga keempat dengan enam bawah par 282 manakala bintang China, Shanshan Feng kelima, 283 pukulan.

Lydia yang memulakan hari terakhir dengan agak suram apabila mencatat bogey di dua lubang pertama, berkongsi kedudukan selaku pendahulu bersama Morgan apabila membenam birdie di lubang terakhir.

Morgan yang bermain di kumpulan belakang, gagal membenam birdie sekali gus mengheret perlawanan ke play-off.

Kedua-duanya kembali ke lubang 18 untuk play-off dan masing-masing mencatat par, sekali gus memaksa aksi diteruskan di lubang sama.

Pukulan ketiga Lydia berhenti kira-kira lima kaki daripada lubang, manakala bola Morgan berhenti lebih jauh.

Morgan gagal mencatat birdie, sekali gus membuka peluang buat Lydia yang tenang membenam birdie dan dinobat juara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 9:04 AM