FAIZAL (dua dari kiri) dan Datuk Seri Vida di salah satu gerai nasi lemak pada sambutan ulang tahun NLKO.

Program temu bual santai waktu pagi, Nasi Lemak Kopi O kini (NLKO) kini sudah menjang­kau usia tujuh tahun penyiarannya.

Kali pertama bersiaran pada 4 April 2008, NKLO menawarkan konsep dan pengisian menarik sekaligus menerima sambutan hangat.

Sempena sambutan ulang tahun NKLO, stesen televisyen TV9 menghimpunkan sebanyak 14 gerai menjual nasi lemak dan kopi di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama pada Ahad lalu.

Istimewanya, program itu yang turut bersiaran secara langsung dimeriahkan lagi dengan tiga pengacara Trio Ahad iaitu Luqman Hakim, Faizal Ismail dan Fizo Omar.

Acara diserikan dengan kehadiran seramai 60 penghuni Rumah Anak Yatim Raudhatul Ikhwan serta pelajar Kolej Vokasional ERT, Setapak.

Anak yatim terbabit turut diberi peluang untuk menyertai pertandingan peserta paling pantas makan nasi lemak dan minum kopi.

Menarik di acara itu, penonton berpeluang menyaksikan demonstrasi seni Latte dan pertandingan gerai paling Sporting.

Pertandingan itu diadili oleh Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau terkenal dengan panggilan Datuk Seri Vida yang hadir sebagai tetamu jemputan bersama artis, Wan Syarmila.

Antara segmen menarik sepanjang tiga hari bersiaran NKLO adalah Meow Si Kucing, Dr Meow, Roy Cari Makan, Tanyalah Pakar, Inspirasi, Stetoskop, Biasa tapi Luar biasa, Gelak-gelak NLKO, Cer Teka, Cer Teka, Siapa Ni?, Bakat Malaysia, Filem serta Drama dan Teater.

Mengimbau kembali NLKO di awal kemunculannya menampilkan pengacara berpengalaman antaranya Aziz Desa, Nik Sayyidah,Yatt Hamzah, Zaleha Khairene Ismail, Fimie Don, Sharifah Shahirah, Farah Diana Anuar, Farah Adeeba Mohd Ashraf, Sharifah Nur Syed Ali, Sharifah Aleya, AG Hot FM dan Bienda.

Edisi 2015 menyaksikan pengacara Luqman Hakim Abd Malik, Fizo Omar, Faizal Ismail, Abu Talib Husin, Mohd Fakhrulradhi Khamarudin, Hani Farhana Hatim, Khairul Noormaaidah Zali dan Zuhairah Mustafa Al-Husin.

Selain itu, NLKO turut menampilkan dua wajah baru sebagai penyeri di set iaitu Nur Khairunnisa Aznan dan Nadia Amira Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 12:31 PM