Kuala Lumpur: Sektor perkhidmatan perniagaan dijangka mengalami pertumbuhan kukuh susulan daripada perkembangan terkini dalam industri ini, selain pasaran baru yang berjaya diteroka.

Namun, adalah wajar bagi memastikan industri ini berganjak ke tahap rantaian nilai yang lebih tinggi memandangkan saingan sengit yang bakal ditampilkan oleh negara serantau.

Ini berikutan dasar yang akan dilaksanakan pada 2015 untuk menjadikan ASEAN pasaran tunggal yang akan menyaksikan sekatan dagangan antara negara serantau disingkirkan.

Sektor ini juga adalah sektor kedua paling pesat berkembang di Malaysia dalam dekad yang lepas, malah sektor terpilih seperti teknologi hijau dan pusat data mencatatkan kadar pertumbuhan dua digit.

Dengan kehadiran pusat perkhidmatan berkos rendah di negara serantau seperti Filipina, Vietnam dan Thailand yang menawarkan aktiviti berkos rendah dalam sektor aeroangkasa, penyumberan luar dan teknologi maklumat, syarikat tempatan harus meningkatkan penawaran perkhidmatan dalam rantaian nilai yang lebih tinggi.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem berkata, kerajaan juga telah melaksanakan beberapa inisiatif penting bagi memacu negara ke aras status peneraju bidang aeroangkasa serantau menjelang 2030.

“Sementara itu, kami juga mewujudkan sebuah Projek Permulaan (Entry Point Project - EPP) baru iaitu menjadikan Malaysia hab OEM Aeroangkasa di Asia Tenggara dan dijangka menyumbang RM1.1 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Di samping itu, ia akan menjana pelaburan bernilai RM1.9 bilion dan bakal mewujudkan 3,368 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata, tidak dinafikan cabaran terbesar yang dihadapi ialah persaingan sengit daripada khalayak jiran serantau, apatah lagi dengan wujudnya Komuniti ASEAN (AEC) yang bakal direalisasikan pada 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:20 AM