Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selepas mengharungi latihan fasa kedua di Kem Sirusa, Port Dickson Ahad lalu, pengendali skuad ragbi 15 Sebelah negara Lee Nyuk Fah berpuas hati dengan prestasi semua 36 pemain dipanggil kali ini.

Dengan hanya 25 pemain bakal disenaraikan membawa cabaran negara pada Kejohanan Ragbi Asia (ARC) dari 10 hingga 16 Mei ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Nyuk Fah akan mengadakan latihan fasa ketiga Jumaat ini sebelum menamakan barisan terakhir.

“Saya puas hati dengan komitmen dan kesungguhan pemain. Malah, melalui aktiviti diadakan saya harap ia membantu meningkatkan semangat dan ketahanan mental pasukan,” katanya.

Jika sebelum ini persiapan skuad kebangsaan sedikit terencat ekoran kehilangan lima tonggak utama, beliau mampu tersenyum gembira apabila difahamkan pasukannya akan diperkuat kehadiran pemain profesional negara, Dinesvaran Krishnan yang kini beraksi di liga profesional Jepun.

“Saya anggap dia senjata sulit pasukan kerana memiliki kekuatan istimewa jarang ada pada pemain tempatan.

“Dengan susuk tubuhnya yang baik, di samping larian pantas, dia mampu membantu pasukan. Lagipun dia boleh bermain di beberapa posisi dan ianya suatu kelebihan untuk pasukan terutama ketika berdepan lawan kuat seperti Taiwan dan UAE,” katanya.

Mengulas tekanan dihadapi terutama dalam misi mempertahankan mahkota kejuaraan dimenangi di Qatar musim lalu, Nyuk Fah yakin pasukan sudah bersedia menghadapi saingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:50 AM