CHIN AUN (empat dari kanan belakang) bersama sebahagian peserta bergambar kenangan.
CHIN AUN (empat dari kanan belakang) bersama sebahagian peserta bergambar kenangan.
Oleh Mohd Badlishah Md Ali

Melaka: Aksi bertenaga dan konsisten memberi impak berkesan buat skuad Stylo Mylo dari Johor Bahru apabila dinobat juara Karnival Bola Sepak 7 Sebelah Perpaduan Samba-SportsUnite B-12 untuk mendakap trofi Datuk Soh Chin Aun di padang Kelab Rotunda, Tanjong Kling, Melaka baru-baru ini.

Keputusan 5-0 membenam wakil tuan rumah, Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera Melaka pada final membuktikan wakil dari Selatan tanah air itu sukar ditandingi.

Sementara itu tempat ketiga milik Kelab Kiddos Kickers selepas menewaskan Kelab Kuala Lumpur Youth Soccer 1-0.

Muhammad Alham Johan dan Yosafat Ujan anak Melat dari pasukan Stylo Mylo dinobat penjaring terbanyak dan pemain terbaik kejohanan. Muhammad Firdaus Johari dari Kelab Tes 1- Tengkera Melaka pula dianugerah penjaga gol terbaik manakala Piala Fairplay milik Kelab Kuala Lumpur Youth Soccer.

Kejohanan edisi kelima ini anjuran Kelab Sukan SportsUnite dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Bekas Pemain Negeri Melaka dan ditaja Milo, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Figos, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Revive.

Program bermatlamat mengiktiraf pengorbanan dan pembabitan legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun dalam memartabatkan sukan bola sepak dalam dan luar negara.

Sebanyak 32 pasukan seluruh semenanjung dari Johor, Pahang, Lembah Kelang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak mengambil bahagian.

Chin Aun turut hadir dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada semua pemenang sambil diringi Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite, Datuk Dina Rizal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 9:14 AM