ANNE (kanan) bersama Dilla.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Artis yang menyertai Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) disifatkan bertuah kerana sering mendapat peluang menyertai karnival jualan. Usaha ini digerakkan oleh presidennya, Anne Abdullah serta barisan ahli jawatankuasa yang dilantik.

Selepas terbabit dalam karnival Superstar Fiesta yang berlangsung di Dewan MPK Pekan Meru dan Padang Belia Pekan Meru, Klang akhir Mac lalu, penganjuran diteruskan pula menerusi karnival jualan Himpunan Usahawan Selebriti dan Usahawan Tempatan yang diadakan di Medan Mara Kuala Lumpur.

Karnival yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) ini bermula pada 27 April lalu dan berakhir pada hari ini (29 April) bermula jam 10 pagi hingga 7 malam.

Anne berkata, peluang terus diberikan kepada ahli-ahlinya untuk menjana pendapatan tambahan menerusi bidang perniagaan. Apatah lagi mereka menunjukkan kesungguhah dengan menyertai setiap program anjuran GTAS.

“GTAS memang bergerak aktif mencari peluang perniagaan untuk ahli. Syarat yang ditetapkan pula ialah mereka mesti memiliki produk sendiri dan bukannya menjadi duta atau jurucakap produk. Mereka adalah usahawan selebriti yang mahu serius berniaga.

“Alhamdulillah, usaha yang digerakkan selama ini membuahkan hasil apabila GTAS kini menarik perhatian pelbagai pihak yang mahu bekerjasama. Ini kerana sebagai artis, kami dengan mudah dapat menarik peminat datang ke karnival itu, sekali gus dapat mempromosikan tapak karnival,” katanya.

Menurutnya, Himpunan Usahawan Selebriti dan Usahawan Tempatan membariskan ramai usahawan artis seperti Norshila Amin, Ernie Sulastri, Norlie Tamam, Nadia Kesuma, Laila Nasir, Dilla Ahmad, Rina Tan, Kalam, Farisha Irwayu, Zur Eda, Kuna, Elly Raja Lawak, Mak Wan dan ramai lagi.

“Pelbagai program menarik disusun seperti persembahan artis, demontrasi masakan, bersama selebriti chef dan cabutan bertuah. Pendek kata, pengunjung bukan sekadar datang membeli-belah semata-mata tapi turut boleh berhibur dengan mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan.

“Saya juga gembira kerana setiapkali diadakan, ahli memberikan sokongan yang baik. Ini dapat membuka mata pihak tertentu yang melihat kesungguhan kami berniaga dan bukannya hanya ibarat hangat-hangat tahi ayam.

“Selain membuka peluang perniagaan kepada artis, kami turut menghantar mereka mengikuti kursus selaras dengan produk mereka usahakan dan juga menyediakan pinjaman kewangan,” katanya.

Anne turut gembira kerana masyarakat menyambut baik karnival jualan yang diadakan. Malah ia berupaya menjadi pusat jualan sehenti kerana semua barangan yang terdapat di situ dan mereka tidak perlu bersusah payah mencari di ba­nyak lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 11:11 AM