Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Lima pendaki Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kini berada di Everest Base Camp (EBC) akan menangguhkan pendakian mereka ke puncak teringgi dunia itu.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Wahid Omar berkata, ini berikutan keadaan tidak menentu susulan kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini dan juga bagi mengelak sebarang risiko kepada mereka.

"Pasukan pendaki UTM terdiri daripada Jamhuri Jumari, 21, Farul Aidib Mahamad Yusoff, 21, dan Azham Afzanizam Hamzah, 27. Mereka disertai oleh jurulatih Azim Afif Ishak, 27, dan penolong jurulatih Anis Zulaikha Zabani yang merupakan pasangan suami isteri.

"Sehubungan itu, UTM kini sedang mengerakkan usaha untuk membawa balik kesemua mereka dengan kerjasama Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di Kathmandu serta pihak berkuasa di sana.

"Pihak universiti juga sentiasa berhubung secara terus dengan kumpulan pendaki ini, Wisma Putra dan pihak kedutaan di sana bagi mendapatkan maklumat dan gambaran situasi dan juga keadaan di sana serta memantau keselamatan mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 6:36 PM