ANTARA tujuh lelaki didakwa membunuh pengawal keselamatan. FOTO Faiz Anuar
ANTARA tujuh lelaki didakwa membunuh pengawal keselamatan. FOTO Faiz Anuar
Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Klang: Tujuh lelaki berusia antara 22 hingga 33 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh pengawal keselamatan di pondok pengawal di Bandar Bukit Raja, Klang 18 April lalu.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mariam Maran Abdullah @ Lusia Muda Maran.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh iaitu M Yugaraj, 23; B Saravanan, 33;N Mageswaran, 25; N Yogeswaran, 22;U Kunalan, 22; C Reshiwaran, 22 dan E Sasikumar, 26.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Muhammad Ridhuan Che Bai, 26, dengan cara menetak menggunakan parang di pondok pengawal di pusat komersial 11 Avenue, Bandar Bukit Raja kira-kira 1.30 pagi, 18 April lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 149 KK.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rizal Azani Zainal Adzam manakala tertuduh diwakili peguam bela P Uthayakumar dan S Saravanan.

Mahkamah menetapkan 16 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 2:29 PM