Muhammad Ali (kanan) pada majlis pembukaan butik jenama Philips.
Muhammad Ali (kanan) pada majlis pembukaan butik jenama Philips.

Kuala Lumpur: Philips Malaysia mempunyai matlamat untuk memacu pertumbuhan jualan runcit menerusi pembukaan butik jenama pertamanya di Malaysia, Philips Brand Store di Publika, Kuala Lumpur bagi memenuhi keperluan pelanggan yang menginginkan pengalaman beli-belah menakjubkan.

Pengurus Negaranya, Muhammad Ali Jaleel berkata, butik jenama itu adalah cetusan idea dan kolaborasi bersama My Future World Sdn Bhd, syarikat peruncitan teknologi.

“Selepas memperkenalkan Blip.my, laman beli-belah online pertama seumpamanya pada November 2014, kami mendapati jumlah pendaftaran melebihi 300 orang, selain menerima lebih 20,000 kunjungan dan 15,000 pengunjung unik dengan nilai jualan lebih daripada dijangkakan.

“Menerusi langkah syarikat yang bekerjasama dengan Future World, kami menampilkan satu pusat hentian yang menawarkan pelbagai jenis produk Philips terdiri daripada perkakas rumah antaranya lampu, seterika, penggoreng udara dan produk penjagaan kesihatan,” katanya pada majlis pelancaran butik Philips di sini semalam.

Menurutnya, walaupun ramai yang gemar berbelanja secara online, namun terdapat di antara pelanggan yang lebih gemar membeli di kedai agar dapat merasai, mencuba dan menilai sendiri produk sebelum membuat keputusan untuk membayar.

Sehingga kini, 70 peratus produk Philips dijual di kebanyakan peruncit moden seperti Tesco, Mydin, Giant serta Aeon dan baki 30 peratus di peruncitan konvensional di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 7:55 AM