SYUKRAN huni tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 26 mata.

Kuala Lumpur: Ahmad Syukran Aizat berharap dapat merencana strategi lebih baik bersama pasukan PETRONAS Yamaha CKJ bagi menyekat penguasaan Tengku Amirul Haffirudin pada perlumbaan Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Tanjung Emas, hujung minggu ini.

Tanpa kehadiran rakan sepasukan, Mohd Azam Omar dan Izrul Huzaimie Amran di barisan depan, Syukran akur agak sukar untuk menghalang pencabar khususnya duo pasukan Motul Yamaha YY Pang, Tengku Amirul dan Mohd Izzat Zaidi Salehan yang menguasai dua perlumbaan lalu.

Saingan pusingan kedua di Batu Kawan menyaksikan Syukran beraksi bersendirian selepas Azam terpaksa menarik diri akibat kecederaan bahu manakala Huzaimie mengalami masalah jentera.

Pelumba kelahiran Terengganu itu kini menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan 26 mata, 24 mata di belakang Tengku Amirul manakala rakan sepasukan Izzat, kedua dengan 29 mata.

“Pelumba YY Pang sentiasa berada berdekatan dan memberi kelebihan kepada mereka. Lihat saja pada dua perlumbaan lalu, selain kelebihan jentera, Tengku Amirul turut dibantu Izzat yang berada di belakang untuk menyekat pelumba lain,” jelas Syukran.

“Sudah tentu kami perlukan strategi berpasukan lebih baik untuk merapatkan jurang dengan mereka. Pasti lebih mudah jika mempunyai rakan sepasukan bersama di hadapan berbanding secara individu dan kami perlu lakukan sesuatu sebelum mereka menjarakkan diri selepas beberapa pusingan akan datang. Kami perlu sekat gandingan mereka daripada terus menguasai perlumbaan,” katanya.

Syukran bagaimanapun yakin sekali lagi menamatkan 15 pusingan perlumbaan di atas podium.

“Tidak mustahil untuk sekali lagi bersaing merebut podium seperti perlumbaan lalu dan mengutip mata maksimum. Namun, masih banyak perlu dilakukan memandangkan perlumbaan minggu ini berlangsung di litar baru.

“Litar ini mengandungi banyak laluan lurus dan faktor kelajuan dan ketahanan enjin memainkan peranan penting. Mudah-mudahan jurutera pasukan dapat menyediakan jentera yang kompetitif,” kata Ahmad Syukran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 8:33 AM