NURULNABIHAH.
NURULNABIHAH tidak jemu menghasilkan karya menarik.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Hadir ke sesi fotografi dengan berbaju kurung rona hijau lembut menampilkan kemanisan Nurulrabihah Mat Noh, 34.

Ketika memperkenalkan diri, penulis tidak menyangka wanita berasal dari Pendang, Kedah ini rupa-rupanya adalah penulis novel terkenal dan sudah menghasilkan tujuh novel digemari ramai.

Mungkin wajahnya kurang popular namun bagi peminat fanatik novel pastinya nama pena, Rabihah Nur Ridhuan yang tertulis pada kulit novel begitu dikenali, apatah lagi penulisannya banyak menerapkan unsur pengajaran kepada pembacanya.

“Sebenarnya, saya adalah penulis novel separuh masa kerana mempunyai tugasan lain sebagai pegawai pengurusan unit latihan dalam perkhidmatan di Institut Perguruan Guru (IPG).

“Biarpun masa untuk menulis tidak ba­nyak, saya tetap akan menulis selama dua jam setiap hari kerana memang meminati dunia penulisan.

“Saya tidak kisah korbankan waktu tidur dan perlu bangkit seawal jam 4 pagi bagi meluahkan idea yang terpendam di dalam manuskrip yang perlu disiapkan,” katanya.

Dia perlu berdisiplin jika mahu menjadi penulis yang baik, apatah lagi sering menghadapi cabaran kekangan masa untuk menyiapkan manuskrip novel barunya.

Tempoh paling lama dia dapat menyiapkan satu manuskrip adalah tiga bulan. Setiap hari dalam tempoh dua jam itu dia menetapkan dirinya untuk menyiapkan karya sebanyak 10 muka surat.

Justeru, waktu yang terlalu singkat itu dimanfaatkan sebaiknya bagi menaip semua idea yang ada di dalam kotak fikiran. Selepas itu, barulah dia akan mengedit sekurang-kurangnya enam kali hasil tulisannya bagi menyesuaikannya dengan tajuk dan konsep novel yang ingin diterbitkan.

Jika dulu, dunia penulisan hanya dianggap sebagai hobi tetapi kini ia menjadikan diri Nurulrabihah begitu ghairah menulis hinggakan hatinya tidak keruan jika ada hari yang terlepas untuk melontarkan buah fikirannya.

Dia sangat bertuah kerana idea menulis selalunya datang serta-merta setiap kali Nurulrabihah duduk di depan komputer riba, sekali gus membuatkan dirinya senang menyiapkan karya dalam masa singkat.

Bertambah mudah apabila maklumat yang dikumpul hasil usaha sendiri banyak membantu dirinya menulis dengan lancar. Ini kerana waktu rehat atau jika ada masa terluang akan dihabiskan dengan membaca buku atau mencari maklumat di Internet bagi memantapkan lagi karyanya.

Hasil usaha gigihnya tanpa henti, Nurulrabihah diiktiraf sebagai penulis prolifik (banyak menghasilkan karya) daripada Buku Prima pada 2014 selepas dia mula aktif menulis.

Menceritakan kembali sebelum menceburi dunia penulisan, pemegang Sarjana Perkembangan Kurikulum dari Universiti Malaya ini mula menjadi pembaca novel tegar sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Ketika itu, usianya baru mencecah 13 tahun dan pada masa sama timbul minat menulis selepas mendapat inspirasi daripada novel yang dibaca.

Selepas me­nyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Aktuari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), barulah dia mula menulis.

“Saya menulis dengan tangan saja ketika itu kerana agak sukar mendapatkan peralatan seperti tablet atau komputer riba, apatah lagi masih belajar dan tiada wang untuk membelinya.

“Namun, kebanyakan hasil penulisan itu sudah hilang dan saya mula menulis dengan serius semula pada 2006. Dalam tempoh setahun, barulah saya dapat menyiapkan manuskrip yang lengkap disebabkan kekangan masa,” katanya.

Selepas itu, dia memberanikan diri menghantar manuskrip yang dihasilkan kepada syarikat penerbitan sebelum berjaya diterima dan menerbitkan novel bertajuk Cahaya Cinta menggunakan nama pena Izra Noh pada 2007.

Biarpun masih baru dalam dunia penulisan, dia tidak jemu meraih tarikan pembaca melalui blog miliknya, [email protected] dan Rabihah Nur Ridhuan (Facebook).

Pengajaran dalam penceritaan

Lumrah bergelar pendidik, dia tidak boleh lari daripada tujuan asalnya yang sentiasa mahu mendidik masyarakat terutama kepada pembaca dalam setiap penceritaan walaupun karyanya banyak berkisar mengenai percintaan dan konflik keluarga.

“Perkara pertama yang difikirkan sebelum menghasilkan karya adalah pengajaran yang boleh diselitkan dalam penulisan bagi membantu memberi pendedahan dan pendidikan kepada pembaca.

“Walaupun kebanyakan karya saya membabitkan isu semasa, namun ada juga pengajaran di dalam kehidupan seperti melaksanakan amanah ketika bekerja.

“Pada masa sama, ada juga diselitkan pengajaran berbentuk agama seperti mengaitkan penceritaan dengan kemaafan antara manusia dan Allah,” katanya.

Ujarnya, banyak usaha perlu dilakukan bagi memperbaiki penulisannya. Awalnya, dia tidak mempunyai asas langsung untuk menghasilkan karya yang menarik menyebabkan dia menulis mengikut kehendak hati sendiri.

Namun, selepas menghadiri kursus penulisan yang dianjurkan oleh Grup Buku Karangkraf dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk guru, gaya penulisannya bertambah baik.

Bukan hanya menulis novel, Nurulrabihah turut menghasilkan buku cerita bergambar untuk kanak-kanak dan novel remaja. Biarpun masanya dipenuhi dengan tugasan di tempat kerja dan menulis, dia masih memberi keutamaan kepada dua anaknya yang berusia dua dan empat tahun kerana mereka juga menjadi pencetus semangat dan ilhamnya berkarya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 3:17 PM