PASUKAN BMX Terengganu ceria muncul juara Kejohanan BMX Selangor.
PASUKAN BMX Terengganu ceria muncul juara Kejohanan BMX Selangor.
Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Terengganu menepati sasaran apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Lumba Basikal BMX Siri II di Selayang Permai, Selangor, baru-baru ini.

Lebih manis, dua pelumbanya berjaya menguasai dua kategori utama iaitu terbuka lelaki, Ahmad Syazrin Awang Ilah dan terbuka wanita, Noor Quraataina Mamat.

Jurulatih Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu Mohd Arif Syukri Ahmad Sabti berkata, pasukannya mempertaruhkan atlet dan pelapis SUKMA serta atlet pembangunan pada kejohanan itu.

Beliau berkata, pihaknya sedar untuk muncul juara keseluruhan merupakan cabaran besar buat pasukannya yang perlu bersaing dengan 29 pasukan lain.

“Kami bersyukur kerana semua atlet menunjukkan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan. Ini pencapaian membanggakan kerana menang dua kategori,” katanya.

Mohd Arif berkata, secara keseluruhan, pasukannya mengutip 1,468 mata mengetepikan pencabar terdekat SP Team Selangor dengan 1,312 mata.

“Pencapaian ini diharap menyuntik semangat atlet yang akan bersaing pada Kejohanan Malaysia Championship di Trek Sura Hujung, Dungun pada 13 dan 14 Jun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:28 AM