Pemain PDRM, Ashfaq Ali bersaing dengan Pemain ATM, Obinna Nwaneri pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. FOTO Hazreen Mohamad
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempamer aksi mantap apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Reputasi skuad The Cops selaku pendahulu liga jelas tidak menghadirkan gerun buat anak buah Shahrin Majid, apabila mereka berjaya mencipta kejutan menerusi persembahan lebih tersusun dan semangat berpasukan yang tinggi.

Kemenangan itu mengulangi kejayaan mereka apabila menewaskan Pahang di gelanggang sama sebelum ini.

ATM memulakan perlawanan dengan melakukan beberapa asakan ke kubu PDRM menerusi jentera serangan mereka diketuai kapten pasukan, Hairuddin Omar serta dibantu Jerry Palacios Suazo dan mereka mendapat sepakan percuma dari jarak kira-kira 20 meter, namun sepakan Mario Karlovic pada minit ke lima itu ditepis penjaga gol PDRM, Willfred Jabun.

PDRM melakukan serangan pantas dan mendapat tendangan sudut pada minit ke-12 dan sepakan itu yang diambil Muslim Ahmad, dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Mohd Afif Aminuddin apabila berjaya menanduk masuk gol pertama pelawat.

Usaha bersungguh-sungguh pemain ATM untuk mendapatkan gol tidak sia-sia apabila Venic Elphi Danny Kaya merembat deras bola hantaran Karlovic dari sebelah kiri pintu gol, untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-44 dan jaringan itu sekali gus menamatkan aksi separuh masa pertama.

Sebaik aksi bersambung, Hairuddin menanduk masuk bola sepakan percuma dari jarak kira-kira 30 meter yang diambil Venice Elphi, untuk meletakkan ATM di depan pada minit ke-56.

Hairuddin kemudiannya melebarkan lagi jurang ATM apabila gerakan solonya dari bahagian tengah berjaya melepasi bahagian pertahanan PDRM dan menolak bola cantik menewaskan Willfred untuk gol ketiga ATM pada minit ke-60.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 11:28 PM