SAZALI (tengah) dinobat Olahragawan Negara dan Nicol David pula Olahragawati Negara 2014.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Berada sebaris dengan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan Rashid Sidek dengan kejayaan merangkul gelaran Olahragawan Negara sebanyak empat kali, Sazali Samad bertekad untuk terus mengerah keringat dalam sukan itu.

Bukan mahu mengejar gelaran tapi ia diteruskan kerana minatnya yang mendalam dalam sukan bina badan dan andainya tahun depan gelaran olahragawan itu bukan miliknya Sazali menjelaskan perjuangan akan tetap diteruskan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bersara dan juga tidak pernah terfikir untuk mengejar gelaran olahragawan ini.

“Gelaran ini atas pertimbangan juri dan jurilah yang menilainya. Mereka tahu apa yang terbaik jadi saya bersyukur dan berterima kasih kepada juri yang menilai kejayaan saya ini.

“Pembabitan saya dalam sukan ini bukan untuk mengejar nama semuanya dilakukan kerana minat dan saya tidak akan berputus asa malah akan terus mengintai lebih banyak kejuaraan biarpun satu hari nanti saya tewas,” katanya.

Bagi Sazali, kekalahan itu sebenarnya memberi satu motivasi buat dirinya untuk terus memperbaiki kelemahan dan menjadikan dirinya insan yang lebih baik maka perjuangan tetap akan diteruskan biarpun kini sudah mencecah usia 47 tahun.

Kejayaan Sazali memang sukar untuk dinafikan dan disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa kerana kemampuannya menakluk dunia sekali gus mempertahankan gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali biarpun tewas pada Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu.

Jelas atlet kelahiran Batu Pahat itu, bukan mudah untuk mencapai apa yang diperoleh ketika ini.

Tiada siapa yang tahu detik kesukaran dihadapinya terutama ketika terpaksa menurunkan berat badan.

Pastinya ramai yang mengingati pengorbanan dilakukan juara dunia itu apabila terpaksa menghabiskan masa selama empat jam di sauna semata-mata mahu menurunkan berat badan.

Katanya, kesukaran yang ditempuhi itu tidak dapat dikongsi dengan sesiapa dan hanya dirinya tahu keringat dikerahkan untuk berjaya hingga setakat ini.

Nasi lemak, nasi ayam, makanan bergoreng serta berminyak yang menjadi kegilaan rakyat negara ini perlu ditinggalkan demi untuk mendapat otot yang berkualiti.

Namun semua itu bukan usahanya seorang diri dan ia dibantu oleh pakar pemakanan dari Institut Sukan Negara (ISN) dan isteri tercinta, Hashrine Hashim.

Setiap pagi menu diet Sazali akan dipantau oleh Hashrine bagi memastikan makanan yang diambil berkualiti antaranya telur putih bersama oat selain beberapa makanan tambahan seperti vitamin empat hingga enam pil sehari.

“Sepanjang 10 tahun saya perlu menjaga penampilan dan kesihatan. Anda perlu tahu apa yang anda makan setiap hari bagi memastikan tahap kecergasan dapat dikekalkan.

“Untuk berjaya tiada jalan pintas. Semuanya perlu ada kesabaran dan banyak pengorbanan. Pernah ada seorang peserta di satu kejohanan mengambil barang larangan dan akhirnya meninggal dunia selepas memenangi kejohanan itu kerana terlalu taksub mahukan kemenangan dan mengambil jalan singkat.

“Justeru ingatlah kepada sesiapa saja yang berminat untuk menceburi sukan ini, tiada jalan pintas untuk berjaya. Disiplin antara faktor utama yang perlu ditekankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 8:09 AM