Pengumuman penyanyi Sam Smith membatalkan konsert jelajahnya di Australia mengecewakan peminatnya. Penyanyi lagu Stay With Me itu terpaksa berbuat demikian kerana mengalami pendarahan di peti suaranya.

“Doktor menasihati saya berehat panjang sehingga peti suara benar-benar sembuh. Kalau dibiarkan, saya mungkin berdepan masalah jangka masa panjang dan mengakibatkan saya tidak boleh menyanyi lagi.

“Sejak akhir-akhir ini, banyak komitmen persembahan yang harus saya penuhi. Keadaan itu menyebabkan peti suara mungkin letih dan terlalu dipaksa bekerja. Saya mohon maaf kerana terpaksa mengecewakan peminat di Australia,” katanya.

Walaupun tidak dibenarkan menyanyi buat sementara waktu, Smith yakin hanya perlu mengambil masa beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya. Dia juga menyusun semula jadual untuk memenuhi konsert jelajah di Australia.

Selain masalah peti suara, kesihatan Smith baik. Malah, kesibukannya membuatkan dia kehilangan berat badan dengan pantas.

Smith juga berjumpa Beyonce untuk meminta pendapatnya mengenai pemilihan makanan jika mahu menurunkan berat badan.

“Dia menyarankan saya berjumpa pakar pemakanan, Amelia Freer. Selepas bertemu dengannya, saya berjaya menurunkan berat badan hanya dalam masa dua minggu.

“Saya juga berasa lebih sihat dan bertenaga. Selain itu, kesibukan dengan kerjaya membuatkan berat saya turun dengan pantas. Sekarang saya hanya perlu turunkan dua kilogram untuk mencapai berat badan diidamkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 12:08 PM