X
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Biarpun kurang diperkatakan media tempatan, selebriti yang juga usahawan berjaya, Sazzy Falak, 34, dilihat berjaya membina nama tanpa perlu sogokan kisah peribadi melampau yang mengundang kontroversi.

Pemilik butik online yang mula dikenali melalui siri Gol & Gincu, kini lebih menyerlah sebagai pengacara. Terbaru, Sazzy disunting menjadi pengacara untuk program hiburan majalah, How Do I Look? Asia (HDIL) yang popular dalam versi asal di Amerika Syarikat (AS).

Untuk penggambaran program realiti itu, Sazzy terpaksa terbang ke Filipina pada 28 April lalu dan berada di sana selama sebulan.

Sazzy yang kini diuruskan ParanormalMY akui gembira apabila mendapat tahu bakal mengacarakan program yang popular itu. Bagaimanapun, dalam waktu sama, Sazzy sedih kerana terpaksa meninggalkan anak kembarnya, Imaan Lily Nazril dan Tiara Rose Nazril, 4, serta suami, Nazril Idrus, 41.

Katanya, paling lama dia pernah tinggalkan mereka atas dasar kerja selama tiga minggu untuk Minggu Fesyen New York. Ketika itu Sazzy akui menangis rindukan mereka sebaik saja naik kapal terbang.

“Saya bertuah kerana kerana mempunyai ibu bapa dan mentua yang sangat membantu. Walaupun terpaksa meninggalkan anak dan suami, saya tahu mereka ada untuk tengok-tengokkan anak saya.

“Sekali sekala apabila saya atau Nazril tiada di rumah kerana urusan kerja, mereka bergilir-gilir menjaga cucu,” katanya.

Sazzy akui tanggungjawab terbaru yang digalasnya boleh dikatakan paling berat dan mencabar buat dirinya selama kerjayanya sebagai pengacara.

“Program ini bersiaran di Amerika Syarikat hingga musim ke-12 dan jujurnya, saya sangat gementar. Tawaran ini datang daripada produser sama yang menerbitkan program realiti Facing Up With Fazura.

“Mereka melihat saya mengacarakan Parti Eh, tahun lalu. Apabila bertemu, produser itu memberitahu sukakan cara saya mengacara dan memberi bayangan mahu tawarkan saya mengacara program HDIL Asia,” katanya.

Selepas lama tiada berita mengenai tawaran itu, Sazzy beranggapan ia bukan rezekinya hinggalah apabila dia dan suami berada di Makkah untuk mengerjakan umrah, mereka menghubunginya dan sampaikan khabar gembira itu.

Melihat hal ini sebagai peluang yang tidak wajar dilepaskan, Sazzy berhasrat menggunakan platform ini untuk rakan pereka fesyen membina nama di peringkat Asia.

Antara permulaan, Sazzy akan mengenakan busana rekaan beberapa pereka fesyen Malaysia setiap kali episod berlangsung.

“Program ini juga saya anggap sebagai batu loncatan untuk kembangkan bisnes saya. Saya harap sangat program ini berjaya dan mendapat perhatian ramai.

“Kontraknya lumayan tapi saya tidak boleh dedahkannya. Cukup saya katakan semua tawaran yang saya terima adalah rezeki buat saya dan keluarga,” katanya.

Mengenai hala tujunya, Sazzy yang memulakan langkah dalam bidang seni sebagai pelakon mengakui keliru dengan apa yang dilaluinya sekarang.

Katanya, jauh dalam sudut hati cintanya tetap pada lakonan walaupun tidak banyak tawaran diambil kerana faktor watak dan keluarga.

“Saya sukakan lakonan tapi nampaknya rezeki saya lebih kepada pengacaraan. Saya akan berlakon sebab sukakannya, tapi saya kena pilih.

“Saya tidak mahu terima apa saja tawaran kalau sekadar penuhkan watak gadis kaya, ‘bimbo’ dan seumpamanya. Kalau dapat watak berbeza berbanding sebelum ini, mungkin saya terima,” katanya yang turut bergelar model iklan.

Sementara itu program In Voque yang dihoskan Sazzy disiarkan setiap Jumaat, jam 4.30 petang di TV2 sejak 1 Mei lalu. Program 13 episod ini mengetengahkan sesi perubahan tetamu undangan dalam setiap episod. Tetamu adalah golongan wanita dan gadis bekerjaya tetapi masih tercari-cari penampilan sesuai untuk digayakan.

Sazzy bersama perunding imej akan melakukan transformasi untuk mengatasi masalah dihadapi tetamu yang dipilih setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 12:13 PM