PEMAIN JDT Patricio Rodriguez (kanan) diasak pemain FELDA United Mohd Aizul Ridzwan Razali pada perlawanan malam tadi.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Jaringan tunggal Patricio Rodriguez memastikan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) naik ke tangga kedua liga selepas menewaskan FELDA United 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan menyamai pungutan mata PDRM yang mengumpul 18 mata dan masih menguasai takhta liga selepas memiliki kelebihan jaringan.

Pelawat tampak garang di awal perlawanan apabila mula mengasak kubu tuan rumah dengan bertindak mencetus suasana kelam-kabut di benteng skuad kendalian Mario Gomez.i

Sedar kegarangan awal skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim memburu gol awal, tuan rumah mula menyusun gerakan pada minit kelapan apabila Rodriguez yang menerima bola umpanan Luciano Figueroa bertindak merembat dari luar kotak penalti tetapi penjaga gol, Mohd Farizal Harun menangkap bola kemas.

Peluang terbaik Johor DT memecah kebuntuan jaringan hadir m-29 selepas bola tolakan Safiq Rahim pantas disepak Rodriguez namun hanya sedikit melepasi palang gol.

Kelicikan Rodriguez yang sering mengelirukan pertahanan pelawat hampir membuka tirai jaringan selepas berjaya menggelecek tiga pemain lawan m-37 namun bola rembatan leret pemain itu ditampan Mohd Farizal.

Kapten Aidil Zafuan Abd Radzak turut berpeluang menjaringkan gol m-41 selepas menanduk bola sepakan percuma Safiq tetapi diselamatkan.

Ketika aksi babak pertama berbaki dua minit, tindakan kapten FELDA UNited Shukor Adan mengasari Rodriguez menyaksikan pengadil Samasudin Ibrahim tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Rodriguez yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan Mohd Farizal bagi meletak tuan rumah mendahului 1-0.

FELDA United cuba bangkit menyamakan kedudukan m-64 selepas bola lambung pemain gantian, Mohd Fauzan Dzulkifli disambar Christee Jeyaseelan yang berjaya melepasi perangkap ofsaid namun bola sepakannya melewati palang gol.

Malang buat Aidil Zafuan apabila terpaksa diusung keluar akibat kecederaan m-70 ketika cuba menghalang Makeche Ndumba.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:56 AM