Oleh Syazwan Msar

Rompin: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin mahu semua pengundi di daerah ini tidak memandang remeh Pilihan Raya Kecil(PRK) hari ini dalam menentukan kepimpinan yang akan mewakili mereka nanti.

Hasan berkata, Kewajipan sebagai pengundi harus ditunaikan demi menentukan pemimpin di kawasan ini.

"Jangan pandang remeh PRK ini kerana ia adalah medan untuk menentukan pemimpin yang akan mewakili rakyat nanti.

"Tunaikan tanggungjawab masing-masing selain jadikan PRK ini yang terbaik tanpa sebarang kejadian tidak diinguni berlaku," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, calon PAS, Nazri Ahmad meminta pengundi supaya turun beramai-ramai untuk mengundi pada pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, hari ini.

Nazri yang berasal dari FELDA Keratong 5, Muadzam Shah, berkata, ia bagi menyokong proses demokrasi yang dijalankan bagi memilih Ahli Parlimen Rompin dan memberi khidmat kepada rakyat.

"Turun beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab anda dan ambil peluang untuk terbabit dalam proses itu.

"Buat persediaan dan penilaian yang betul sebelum mengundi," katanya di sini, semalam.

Pada PRK Rompin, Nazri akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Arifin dan ia diadakan berikutan kematian bekas Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, 4 April lalu.

PRK Rompin k adalah kubu kuat BN apabila sebelum ini Jamaluddin memenanginya pada pilihan raya umum dengan majoriti 15,114 menewaskan calon PAS, Nuridah Salleh.

Seramai 53,294 pengundi membabitkan 52,744 pengundi biasa, 545 pemilih awal dan lima pengundi tidak hadir luar negara akan mengundi pada PRK Rompin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 12:59 PM