Teknologi VSolar Group.

Kuala Lumpur: VSolar Group Berhad (VSolar), syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, menandatangani Perjanjian Kerjasama (CA) dengan Eastasia Group Co Ltd (Eastasia) Jepun untuk menyediakan penyelesaian kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC ).

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Manan Md Said berkata, VSolar percaya perkongsian itu bakal menjana keuntungan besar untuk syarikatnya dalam tahun kewangan akan datang.

“Dengan kemudahan teknologi berkenaan, VSolar akan dapat menyediakan sistem solar terkini yang lebih berkesan berbanding sistem generasi lama yang ditawarkan oleh pesaing kami,” katanya dalam kenyataan akhbar, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, kerjasama itu akan memperluaskan tawaran perniagaan dan keupayaan VSolar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui termasuk EPC dan menjadikan VSolar sebagai pembekal penyelesaian sehenti teknologi solar di negara ini selain bercadang untuk menggunakan EPC untuk kemudahan syarikat sendiri serta berkembang ke pemasangan pihak ketiga.

Katanya, dengan memanfaatkan pengetahuan Eastasia dalam pembangunan besar komersial solar, Eastasia memberi kepercayaan kepada VSolar untuk menggunakan harta intelek dan kepakaran bagi pembangunan ladang solar menggunakan metodologi reka bentuk EPC.

Eastasia adalah peneraju dalam pembinaan loji janakuasa​ solar, bahan penjanaan kuasa solar, kerja elektrik,pembinaan am dan industri kejuruteraan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 7:45 AM