Berlin: Bayern Munich bertandang ke Sepanyol untuk aksi separuh akhir Liga Juara-Juara dengan sedikit celaru apabila tahap keyakinan pemain pasti goyah gara-gara tewas dua perlawanan domestik berturut-turut.

Selepas sah bergelar juara Liga Jerman buat kali ke-25 kelmarin, Bayern pastinya tidak boleh melupakan kekalahan penentuan penalti di tangan Borussia Dortmund, Selasa lalu pada separuh akhir Piala Jerman diikuti keputusan 0-2 di Bayer Leverkusen, Sabtu lalu.

Ia catatan terburuk sebelum ke separuh akhir di Camp Nou dengan Pep Guardiola kembali ke kelab yang pernah menyaksikan beliau menang 14 piala sepanjang empat tahun mengendalikan Barcelona.

“Kami tidak akan bercakap perkara buruk itu kerana setakat ini, kami mengharungi musim dengan baik,” kata pengarah sukan Bayern Matthias Sammer. “Pemain dan jurulatih wajar dipuji atas usaha mereka.”

Begitupun, aksi menentang Dortmund mengakibatkan Bayern kehilangan dua bintang akibat kecederaan.

Arjen Robben tidak boleh beraksi hingga hujung musim apabila hanya mampu bermain 61 minit gara-gara otot betis kirinya koyak.

Robert Lewandowski, penjaring terbanyak Bayern dengan 23 gol, retak tulang hidung dan pipi selepas bertembung dengan penjaga gol Dortmund, Mitchell Langerak.

Sammer berkata, keputusan sama ada mahu menurunkan Lewandowski di Barcelona dengan menggunakan topeng keselamatan akan dibuat pemain itu.

Guardiola memberi peluang kepada pertahanan dan penyerang skuad simpanan, Rico Strieder serta Lukas Goertler bermain di Leverkusen ketika beliau merehatkan Thomas Mueller, Jerome Boateng, Juan Bernat dan Xabi Alonso.

“Pemain lain semuanya bebas daripada kecederaan,” kata kapten Jerman Bastian Schweinsteiger (gambar).

Ketika Bayern bergelut di Leverkusen, Barcelona pula mengamuk di Cordoba dengan Luis Suarez melakar hatrik sambil Lionel Messi meledak dua jaringan diikuti Neymar yang turut menempa nama selaku penjaring ketika menang besar 8-0.

“Barcelona menang besar ke atas pasukan bawahan manakala kami bermain dengan dua pemain remaja menentang pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara. Sudah tentu ada perbezaan,” kata Sammer. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 8:27 AM