SEU Bock (kiri) bersama Wei Feng ketika sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan lelaki negara Tey Seu Bock menerima keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) andai badan induk itu menyenaraikan Datuk Lee Chong Wei untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Jakarta pada Ogos.

Namun, Seu Bock yang kini ditugaskan untuk melatih Chong Wei Feng agak serba salah, tetapi mengharapkan anak buahnya itu menjadi pilihan untuk ke Jakarta, mengambil kira ranking Wei Feng yang kini mengatasi Chong Wei.

“Memang kalau ikut ranking, Wei Feng dan Zulfadli (Zulkiffli) layak menyertai Kejohanan Dunia. Tapi, kita kena tengok keutamaan kepada pemain yang berkemampuan untuk menang pingat.

“Sudah tentu kalau dalam kes ini, memang Chong Wei paling layak. Tapi, terpulang kepada budi bicara BAM untuk susun pemain.

“Bagi saya, kalau ikut ranking memang saya lebih kepada Wei Feng. Apapun, siapapun yang dipilih nanti pasti mahu memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Seu Bock berkata, kemahuan Wei Feng untuk bermain di Kejohanan Dunia sememangnya cukup tinggi.

“Memanglah dia tidak sampai sasaran untuk muncul juara, tetapi sekurang-kurangnya mungkin boleh buat kejutan. Bagi saya keinginan Wei Feng nak bermain memang cukup tinggi,” katanya.

Di bawah penstrukturan baru bidang tugas jurulatih di BAM, selain Wei Feng, Seu Bock juga bertanggungjawab melatih Goh Soon Huat, R Satheistharan dan Soong Joo Ven.

Wei Feng menerusi laporan Arena Metro semalam tetap bertegas untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Jakarta.

Alasan Wei Feng ialah ranking yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) jelas menyaksikan dia jauh lebih baik daripada Zulfadli serta Chong Wei.

Wei Weng kini menduduki ranking ke-31, manakala Zulfadli ke-41 dan Chong Wei 45.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 9:45 AM