FOTO ihsan pembaca
FOTO ihsan pembaca
Oleh Muhammad Hairi Azmi Tham


Sungai Siput : Seorang pemandu lori nyaris maut selepas kenderaan yang dipandu melanggar bas dan kereta sehingga menyebabkanya terbabas merempuh kedai farmasi berhampiran klinik di sini, 5.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 5.55 pagi.

"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an berkenaan dari arah Kuala Kangsar menuju ke Ipoh.

"Setiba di tempat kejadian lori berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang bas dan kereta sehingga menyebabkannya terbabas masuk ke dalam sebuah kedai berhampiran," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu lori mengalami cedera parah.

Katanya, pasukan bomba dan penyelamat Sungai Siput yang tiba di tempat kejadian bertindak mengeluarkan pemandu lori yang tersepit sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:13 AM