TANYA Burr
JIM Chapman
CASPER Lee
ZOE Sugg
LILLY Singh

Ramai remaja semakin bijak menggunakan Internet dan media sosial untuk mencipta nama dengan cara tersendiri. Basyar Mustapha juga sering menonton telatah mereka dan kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan.

Membuat blog video atau Vlog mula menjadi fenomena dalam kalangan anak muda khususnya remaja masa kini.

Platform menyiarkan Vlog yang paling popular jelas sekali adalah YouTube yang mempunyai ratusan juta pengunjung dari seluruh dunia setiap hari.

Blogger video remaja ini bijak menggunakan platform ini untuk menarik perhatian walaupun pada mulanya mereka hanya mahu berkongsi minat, bakat mahupun hobi saja di laman web perkongsian video itu.

Gen Y menyelongkar YouTube dan menyenaraikan Vlogger remaja yang berpengaruh dan boleh dijadikan inspirasi bersama.

Tanya Burr, 24

Gadis dari Newcastle, England ini pernah bekerja sebagai jurumekap amatur di kaunter alat solek di pusat beli-belah. Burr kemudian mula merakam dirinya dengan teknik mekap dan memuat naik di video di laman YouTube.

Daripada bagaimana mengaplikasikan mekap, videonya menyentuh topik luas dalam dunia kecantikan.

Selepas beberapa video tutorial mekap yang disampaikan dengan cara tersendiri, ditambah pula dengan rupa paras yang cantik, Burr semakin popular di YouTube.

Kini dia menjalankan projek tutorial mekap bersama jenama besar dan mewah. Kini Burr mempunyai pengikut seramai 2.1 juta di YouTube.

Jim Chapman, 26

Jejaka muda dari Norwich ini berkongsi pendapatnya mengenai pelbagai topik dalam kehidupan remaja dan sering menjawab soalan daripada remaja di YouTube.

Mempunyai ijazah dalam bidang psikologi, dia mulanya bekerja di butik kemudian di syarikat insurans namun tidak berpuas hati.

Dia menggunakan ilmu dipelajarinya dan sikapnya yang bijak menasihati secara semula jadi di YouTube dan kini mempunyai 1.4 juta pengikut di laman sosial itu.

Dia juga sering dijemput ke majlis fesyen besar dan sering dipanggil sebagai panel memberi nasihat dalam rancangan televisyen.

Caspar Lee, 20

Lee menyalurkan perangai gila-gilanya dan menjadi kegilaan remaja lain untuk hiburan di YouTube.

Dia sering berlakon menjadi watak lucu tapi pada masa sama membawa mesej tertentu. Untuk mempelbagaikan isi kandungan YouTube, Lee melakukan pelbagai cabaran dan mengenakan rakannya yang lain dalam cabaran berkenaan.

Berasal dari Afrika Selatan dan mempunyai 2.3 juta pengikut di YouTube, dia kini meraih pendapatan lumayan dengan kerjasama membuat iklan untuk syarikat telekomunikasi dan penerbangan.

Zoe Sugg, 24

Gadis dari Brighton, England ini dikenali dengan videonya yang menyentuh hal fesyen terutamanya membeli-belah. Hobinya membeli-belah dengan mencari barang dan pakaian trendy pada harga paling berpatutan mendapat perhatian ramai remaja yang juga berfikiran sama.

Dia akan merakam pilihannya di kedai dan apabila pulang ke rumah akan mencuba dan menilai barang itu.

Selepas menjadi ikutan di YouTube, dia kini berhenti kerja sebagai pembantu pereka dalaman dan menjadi Vlogger YouTube sepenuh masa dengan pendapatan ratusan ribu pound setahun hasil kerjasama dengan pelbagai butik fesyen high street yang memintanya membuat ulasan.

Sugg kini mempunyai 4.8 juta pengikut di YouTube.

Lilly Singh, 25

Dia digelar gadis paling lawak dalam YouTube. Lilly Singh dari Kanada dikenali dengan video dia melawak dan melakonkan pelbagai watak lucu di saluran YouTube miliknya.

Lilly sering menyentuh hal dan isu belia berketurunan India yang hidup di Barat dan ia nyata mencuit hati.

Menjadi ikutan, dia kini juga bergelar penasihat dalam persidangan media sosial dan bakal mempunyai rancangan sendiri di stesen televisyen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 12:40 PM