TUANKU Syed Faizuddin merasmikan Majlis Pelancaran Festival Harumanis.
TUANKU Syed Faizuddin merasmikan Majlis Pelancaran Festival Harumanis.
TUANKU Syed Faizuddin menaiki kereta api yang disediakan Jabatan Pertanian Perlis untuk ke ladang harumanis.
TUANKU Syed Faizuddin menaiki kereta api yang disediakan Jabatan Pertanian Perlis untuk ke ladang harumanis.
TUANKU Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen mendengar penerangan daripada Zulkefli ketika lawatan
TUANKU Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen mendengar penerangan daripada Zulkefli ketika lawatan
Oleh Mohamad Hussin


Harumanis atau arumanis ialah sejenis kultivar mempelam yang dianggap sebagai ikon Perlis. Sejak sekian lama ia menjadi dambaan banyak pihak termasuk pelancong dari dalam dan luar negara kerana kemanisan isinya yang sememangnya lemak serta harum.

Ia terkenal kerana mengeluarkan aroma harum. Rasanya yang manis sementara isinya yang tebal kekuningan enak dimakan bersama pulut sebagai salah satu sajian tradisi di negeri Indera Kayangan. Malah, ia enak dimakan begitu saja selain diproses dalam bentuk jus atau jem.

Uniknya, harumanis hanya tumbuh dengan subur di Perlis antara April hingga Jun setiap tahun, hingga ada yang menganggap mempelam itu sebagai anugerah paling bermakna bagi Perlis.

Buat julung kalinya Jabatan Pertanian Perlis menganjurkan Festival Harumanis selama dua bulan di ladang mempelam di Pusat Pertanian Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat, Perlis, bermula Jumaat lalu.

Pengarah Pertanian Perlis, Zulkepli Amin Jusoh berkata, terdapat hampir 1,000 hektar kawasan ladang mempelam harumanis termasuk milik Jabatan Pertanian Negeri dan kira-kira 1,000 pengusaha persendirian yang dijangka bakal memungut hasil RM60 juta daripada jualan 3,200 tan matrik harumanis tahun ini.

Beliau berkata, selain jualan mempelam harumanis dan 15 produk berasaskan harumanis, mereka yang berkunjung ke festival berkenaan berpeluang melawat kawasan ladang harumanis milik Jabatan Pertanian Negeri dengan menaiki kereta api khas yang disediakan.

“Kami melantik Koperasi Pegawai Jabatan Pertanian Negeri Perlis untuk membuat jualan harumanis dengan berkonsepkan pelancongan pertanian sambil membeli harumanis.

“Pengunjung menaiki kereta api dengan harga RM3 di kaunter tiket yang disediakan di situ. Pengunjung kemudian dibawa melawat ladang Bukit Bintang seluas 60 hektar itu dengan menaiki kereta api sambil diberi penerangan berkenaan mempelam harumanis oleh pegawai yang bertugas.

“Sepanjang festival berkenaan, pelbagai pengisian diadakan termasuk mencari harta karun dalam ladang mempelam, pertandingan melukis buah mempelam harumanis, kayuhan mengelilingi kawasan ladang dan demonstrasi memetik buah mempelam yang penyertaannya terbuka kepada semua pengunjung.

“Sambutan yang diberikan peminat mempelam harumanis tahun ini amat menggalakkan walaupun jualan masih belum bermula, tetapi sudah banyak tempahan diterima sama ada melalui telefon ataupun dalam talian Internet,” katanya selepas Majlis Pelancaran Festival Harumanis 2015, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Zulkepli berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 100,000 pengunjung menghadiri festival berkenaan yang diadakan selama dua bulan itu.

“Harga jualan mempelam harumanis di ladang bagi gred A (berat lebih 350 gram sebiji) ditetapkan antara RM20 hingga RM30 sekilogram, sementara gred B (kurang 350 gram sebiji) ialah RM18 sekilogram.

“Jualan mempelam harumanis pada tahun lalu kira-kira 2,000 tan metrik dan menghasilkan pendapatan sebanyak RM45 juta,” katanya.

Selain itu, katanya, mempelam berkenaan bukan saja mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan, malah turut menerima tempahan dari luar negara antaranya Jepun, Singapura, Brunei, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kita bakal menghantar 50 tan metrik mempelam harumanis ke negara berkenaan berikutan permintaan tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pasukan petugas khas dianggotai pegawai Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Perlis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK), polis dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sudah dibentuk bagi memantau penjualan harumanis di negeri ini.

“Kami membekalkan sejenis alat pengesan yang dinamakan ‘Fotobrixmeter’ kepada pasukan berkenaan untuk memantau rasa buah yang dijual di tepi jalan supaya pembeli tidak tertipu dengan jualan buah yang tidak berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 1:57 PM