BARANGAN segar yang dijual di pasar segar TKS.
BARANGAN segar yang dijual di pasar segar TKS.
WAN Nurashikin bersama Pengurus Kumpulan Syarikat TKS, Aslinda Osman tidak kekok melakukan sendiri tugas di pasar segar.
WAN Nurashikin bersama Pengurus Kumpulan Syarikat TKS, Aslinda Osman tidak kekok melakukan sendiri tugas di pasar segar.
SALAH satu rangkaian TKS di Batang Kali, Selangor.
SALAH satu rangkaian TKS di Batang Kali, Selangor.
WAN Nurashikin sentiasa dibantu orang kuat syarikat.
WAN Nurashikin sentiasa dibantu orang kuat syarikat.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Kebanyakan gadis seusianya mungkin tidak pernah terlintas untuk menguruskan perniagaan sendiri, apatah lagi memberi komitmen sepenuhnya terhadap perniagaan keluarga.

Malah, mungkin pada pandangan masyarakat betapa gadis semuda ini beruntung kerana diberi kepercayaan untuk menguruskan serba serbi perniagaan pasar mini, pasar segar dan kilang roti milik keluarga berbanding gadis seusianya yang masih tercari-cari haluan hidup pada usia yang masih mentah ini.

Bagaimanapun, gadis berusia 21 tahun ini mengakui perniagaan yang diusahakan tidak semudah yang disangka kebanyakan orang kerana keringat yang dicurahkan juga tidak kurang banyaknya.

Bertemu Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Syarikat TKS, Wan Nurashikin Wan Azrin, baru-baru ini membuka lembaran baru buat penulis dalam melihat usaha gigih peniaga muda sepertinya yang menggalas tugas besar memastikan kemajuan dan kejayaan perniagaan yang diusahakan pada masa depan.

Keramahan dan sifat rendah dirinya terserlah, malah penulis merasakan gadis yang murah dengan senyuman ini mampu mengorak langkah jauh dan setanding bapanya yang mengasaskan empayar perniagaan yang jarang diceburi Bumiputera ini.

“Terima kasih sebab sudi menemu ramah saya kak, perniagaan ini masih baru dan saya pun masih mentah lagi dalam pengurusan perniagaan. Tapi, saya sedang berusaha memastikan perniagaan ini dapat berdiri kukuh dan setanding pasar mini lain yang sudah lama bertapak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Katanya, dia bersama kakaknya, Wan Azlina Wan Azrin, 23, dipertanggung­jawabkan oleh bapanya untuk menguruskan cawangan rangkaian kedai serbaneka dan pasar mini TKS, pasar segar dan pasar sejuk beku terletak di Batang Kali, Selangor.

Tidak seperti remaja lain, Wan Nurashikin sudah terbiasa dengan dunia perniagaan sejak kecil lagi apabila sering dibawa bapanya, Wan Azrin Omar untuk berniaga.

Katanya, kejayaan bapanya membuka beberapa rangkaian perniagaan TKS seperti makanan sejuk beku, kilang roti, pasar segar dan kedai serbaneka bukanlah datang bergolek, sebaliknya disertai pengorbanan besar dan usaha gigih sebelum merasai kesenangan seperti sekarang.

Empayar perniagaan keluarga Wan Nurashikin bermula selepas bapanya mengambil alih kedai serbaneka di Sungai Dua, Pulau Pinang untuk dihadiahkan kepada ibunya pada 2012.

“Tidak sangka kedai serbaneka itu mendapat sambutan menggalakkan selepas diambil alih dan diuruskan ibu bapa saya.

“Atas sambutan positif itu, bapa membuka cawangan pasar mini TKS di Bandar Baru Batang Kali pada 2013 untuk diuruskan oleh saya dan kakak sebelum membuka cawangan lain di Selayang manakala cawangan pasar mini TKS terbaru dibuka di Sungai Petani, Kedah dalam masa terdekat,” katanya.

Bapa galak berniaga

Wan Nurashikin berkata, bapanya bukanlah jenis yang gemar memberi kemewahan dari segi kewangan kepadanya dan adik-beradiknya yang lain, sebaliknya lelaki itu mahu mereka berdikari dengan memberikan perniagaan untuk diusahakan bersama-sama.

“Cara bapa saya, dia tidak berikan ikan kepada kami, tapi dia beri pancing untuk kami sendiri memancing. Hasilnya tentulah bergantung kepada sejauh mana usaha kami untuk memastikan keuntungan dan kesinambungan perniagaan ini,” katanya.

Dia mengaku beruntung kerana mempunyai kakitangan pengurusan yang boleh dipercayai serta banyak membantunya dan kebanyakan antara mereka terdiri daripada rakan rapat bapanya.

Sentiasa berfikiran positif, gadis itu dengan tenang mengakui walaupun wujud persaingan, tapi dia tidak gentar kerana barangan yang ditawarkan di semua rangkaian perniagaannya sentiasa mendapat sambutan kerana harganya yang lebih murah.

Walaupun perniagaannya diusahakan terletak begitu hampir dengan pasar raya besar, tapi tidak semua pelanggan gemar ke tempat sebegitu untuk membeli-belah mungkin atas faktor sukar meletak kenderaan atau malas beratur panjang hanya untuk membeli beberapa barangan saja.

Oleh kerana itu katanya, kedai serbaneka, pasar segar dan pasar sejuk beku yang ditempatkan di beberapa lot kedai sekitar kawasan itu sering dikunjungi pelanggan dan ramai antaranya adalah pelanggan tetap.

“Kita bersaing secara sihat dan sentiasa menawarkan harga murah untuk pelanggan. Walaupun kedudukan kedai kami agak terkebelakang, tapi kebanyakan pelanggan tahu kami memang terkenal dengan harga murah. Jadi faktor lokasi itu bukan masalah buat kami.

“Lagipun, pasar mini TKS dibuka 24 jam sehari tentu memudahkan penduduk sekitar mendapatkan barangan kami pada bila-bila masa. Walaupun begitu, kami pastikan mampu menawarkan harga yang lebih murah daripada pasaran kerana dengan cara itu kami dapat membantu pelanggan,” katanya.

Cari produk berdaya saing

Menurutnya, atas permintaan ramai pelanggan sebelum ini, syarikatnya baru saja membuka pasar segar terletak bersebelahan Pasar Mini TKS yang menawarkan pelbagai produk mentah seperti makanan laut segar, ayam serta sayur-sayuran dengan konsep pasar terbuka yang dibuka dari jam 8 pagi hingga 7 petang.

Syarikat itu juga tidak ketinggalan membantu pengusaha kecil menempatkan pelbagai produk keluaran industri kecil dan sederhana (IKS) di pasar mini dan pasar sejuk beku. Namakan apa saja makanan atau kuih-muih tradisi, pastinya ada di situ.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan kualiti dan mendapat kepercayaan pelanggan, produk yang dipilih untuk ditempatkan di pasar mini dan pasar sejuk beku TKS dipastikan melalui tapisan yang ketat oleh pihaknya.

“Jika hendak maju, kita perlu laksanakan semuanya secara sistematik. Begitu juga pemilihan produk IKS ini yang kita akan cari produk berdaya saing dan memenuhi syarat Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Selain menjadi tempat pengumpulan barangan IKS, kita juga yakin dengan cara ini kita dapat membantu pengusaha Bumiputera memasarkan barangan mereka yang secara tidak langsung boleh meningkatkan ekonomi orang Islam khususnya,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, Kumpulan Syarikat TKS mempunyai kira-kira 40 kakitangan dan kini dalam perancangan membuka lebih banyak cawangan di seluruh negara.

“Sebenarnya kejayaan tidak dapat dikecapi dengan mudah. Pasti ada cabaran yang datang menduga kesabaran, kebijaksanaan dan semangat kita. Cuma sebagai peniaga, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah putus asa.

“Mungkin bagi pandangan sesetengah orang, saya kelihatan terlalu muda untuk menguruskan perniagaan seumpama ini tapi kepercayaan yang diberikan bapa tidak sesekali akan dipersiakan. Lagipun dengan tunjuk ajar dan nasihat bapa mengenai selok-belok perniagaan pastinya lebih memudahkan saya untuk berdikari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 2:43 PM