PETUGAS SPR, Mohamad Sayzwan Ahmad Said, 26, memeriksa peti undi yang sudah siap di pejabat SPR sebagai persiapan PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini. Beg-beg SPR ini akan di bawa ke Dewan Perdana, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam. Sebanyak 130 peti undi disediakan untuk 130 saluran dalam PRK tersebut. FOTO Ramdzan Masiam

BUTTERWORTH: Proses pengiraan undi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Khamis ini akan dibuat di tempat mengundi dan bukan di pusat penjumlahan rasmi undi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, proses pengiraan undi akan dijalankan selepas proses pengundian tamat pada 5 petang.

"Ketika proses pengiraan undi dijalankan, ejen-ejen calon juga turut berada dalam tempat mengundi memerhati proses pengiraan undi itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 71,252 orang pengundi biasa akan mengundi pada pilihan raya kecil itu Khamis ini di 130 saluran mengundi di 25 pusat mengundi.

Proses pengundian awal membabitkan 627 pengundi awal diadakan Ahad lalu.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 7:28 PM
Skip this ad x