Lujiang: Seorang lelaki berusia 21 tahun yang pengsan selepas 14 hari bermain komputer meminta pasukan perubatan yang tiba untuk merawatnya supaya membenarkan dia bersendirian dan memasang semula komputer supaya dia boleh terus bermain sebaik sedar dari pengsan, kelmarin.

Lelaki yang dikenali sebagai Xia itu hanya membantu ibunya di kedai runcit keluarga mereka sejak menamatkan pengajian di kolej.

Menurut laporan, Xia terlalu taasub dengan permainan video ‘World of Warcraft’ sejak Oktober lalu dan sering bermain permainan itu di sebuah kafe Internet.

Pada 20 April lalu, Xia memberitahu ibunya dia mahu belajar memandu dan meminta 800 Yuan. Si ibu yang menyokong kehendak Xia memberikan wang itu dengan menyangka anaknya itu akhirnya mahu melakukan sesuatu yang serius untuk masa depannya.

Sebaliknya dia menghabiskan wang dan masa selama dua minggu di kafe itu.

Pagi kelmarin, Xia pengsan ketika berjalan di luar kafe itu.

Rekod kafe itu menunjukkan dia berada di premis itu sejak 20 April lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:08 AM