Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Tiada yang istimewa dipamerkan skuad hoki negara pada siri perlawanan persahabatan di Eropah, sebaliknya tewas dua perlawanan pertama kepada pasukan campuran Belanda.

Mengharapkan aksi konsisten menjelang persiapan ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium bermula 20 Jun, anak buah Tai Beng Hai (gambar) tewas 1-2 kepada pasukan bawah 21 tahun Belanda, Jumaat lalu sebelum tewas lagi 0-1 pada perlawanan kedua, kelmarin.

Kedua-dua keputusan itu sedikit membimbangkan, namun Beng Hai tetap berpendapat anak buahnya mempamerkan peningkatan pada perlawanan kedua.

“Secara keseluruhan setiap pemain mempamerkan aksi yang bagus. Belanda meraih gol tunggal pada minit ke-18 selepas barisan pertahanan teragak-agak dengan keputusan pengadil,” katanya.

Jelas Beng Hai, kecuali Mohd Shahrun Nabil Abdullah serta Meor Muhammad Azuan Hasan yang cedera, semua pemain turun beraksi pada perlawanan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 9:06 AM